Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Maklumat daripada isteri mengenai lokasi terakhir ‘live location’ suaminya membawa kepada penemuan sebuah Toyota Hilux yang terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat, di sini, selepas dua hari mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan.
Mangsa ditemukan maut di lokasi kejadian selepas rakan sekerjanya bergegas ke kawasan berkenaan untuk mencarinya berdasarkan lokasi terakhir yang dikesan pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, lokasi terakhir ‘live location’ mangsa dikesan pada petang 4 Oktober lalu di sekitar kawasan kejadian.
“Pada 6 Oktober (semalam), rakan sekerja mangsa pergi ke lokasi terakhir berkenaan bagi mencari mangsa sebelum menemukan Toyota Hilux milik mangsa berada di bawah cerun.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memandu Toyota Hilux miliknya sebelum kenderaan tersebut terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter ketika menuruni bukit.
“Ketika kejadian, tiada individu dipercayai menyaksikan kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa tidak disedari orang awam sehingga ditemukan oleh rakan sekerjanya.
Katanya mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.
Sebelum itu, Kaunter Aduan Trafik IPD Gua Musang menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 4.30 petang berhubung penemuan Toyota Hilux yang terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Jalan Ladang Pos Pulat.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa naik dari lokasi kejadian dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebelum dihantar ke Unit Forensik, Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta keadaan yang membawa kepada kejadian itu.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.
IMedikel TV






