Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TOK BALI: Lima mangsa cedera, termasuk tiga daripadanya tersepit, dalam kemalangan membabitkan dua Perodua Kelisa berhampiran Resort Aman Tok Bali, Cherang Ruku, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Tok Bali, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II Mohd Zarami Ibrahim memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 3.18 petang sebelum menggerakkan pasukan dari BBP Tok Bali bersama bantuan BBP Pasir Puteh ke lokasi.
Katanya jentera tiba di tempat kejadian pada jam 3.22 petang, kira-kira lima kilometer dari BBP Tok Bali.
“Pemeriksaan oleh Komander Operasi mendapati kemalangan berlaku selepas dua kenderaan Perodua Kelisa bertembung.
“Pemandu Perodua Kelisa berwarna kuning tersepit, manakala seorang penumpang di tempat duduk belakang turut tersepit dan seorang lagi penumpang di bahagian hadapan mengalami kecederaan.
“Bagi Perodua Kelisa berwarna kelabu pula, pemandunya turut tersepit, manakala penumpang mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit menggunakan alat pemotong hidraulik (rescue hydraulic cutter).
“Kesemua lima mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi turut membabitkan kerja-kerja membersihkan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di lokasi sebelum jentera kembali ke balai.
Operasi terkawal pada jam 3.40 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 4.36 petang.
Seramai 13 anggota dari BBP Tok Bali dan BBP Pasir Puteh terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan logistik membabitkan sebuah Fore Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah EMRS.
IMedikel TV






