Home Sukan RONALDO BOLEH KEMBALI JIKA DIA MAHU – JESUS

RONALDO BOLEH KEMBALI JIKA DIA MAHU – JESUS

Porto, Portugal: Cristiano Ronaldo boleh kembali menyertai skuad Portugal jika dia mahu walaupun dia yang memilih meninggalkan rakan sepasukan, kata jurulatih kebangsaan Jorge Jesus, semalam.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Jesus berkata Ronaldo boleh kembali ke dalam skuad “jika dia mahu” selepas Portugal menewaskan Norway tanpa penyerang berpengalaman itu untuk mara ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA.

Pertikaian itu bermula minggu lalu apabila Jesus tidak menurunkan Ronaldo, 41, dalam kesebelasan utama ketika Portugal mencatat kemenangan pertama ke atas Norway. Ronaldo kemudian meninggalkan kem pasukan pada Rabu selepas mengetahui dia tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Denmark.

“Bagi saya, Cris, dalam panggilan pemain seterusnya, jika dia masih bermain bersama Al Nassr, dia pemain yang boleh dipanggil menyertai skuad.

“Jika dia mahu, dia akan kembali ke skuad kebangsaan,” kata Jesus kepada pemberita merujuk kepada kelab Arab Saudi itu.

Jurulatih itu berkata jika Ronaldo mahu berbincang dengannya sebelum perlawanan Portugal seterusnya pada November, perkara itu boleh dilakukan.

“Jika dia mahu, seperti yang kami lakukan sebelum panggilan pemain kali ini, kami boleh melakukan perkara yang sama untuk panggilan seterusnya.

“Tetapi Cris yang akan membuat keputusan,” kata Jesus.

Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal selain pemain dengan jumlah penampilan antarabangsa terbanyak.

Jesus berkata, beliau pernah memberitahu Ronaldo bahawa khidmatnya diperlukan dalam skuad untuk perlawanan pertamanya selepas menggantikan Roberto Martinez susulan Piala Dunia 2026.

“Cristiano patut mengakhiri kariernya bersama skuad kebangsaan mengikut kehendaknya. Dia yang akan menentukan bagaimana dia mahu melakukannya.

“Itulah cara kami berbincang, kami berdua. Saya berkata, ‘Saya perlukan kamu’. Dalam panggilan pemain pertama saya, saya berkata, ‘Saya perlukan kamu, saya perlukan kamu dekat dengan saya, sama ada bermain atau tidak, saya perlukan kamu’. Dan sekarang saya mengatakan perkara yang sama,” kata Jesus.

Ronaldo yang membuat penampilan sulung bersama Portugal pada 2003 ketika berusia 18 tahun berkata tahun ini “mungkin” menjadi tahun terakhirnya dalam bola sepak.

Penyerang itu menjadi tonggak skuad kebangsaan selama lebih dua dekad dan sudah beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.

Tanpa Ronaldo, Portugal menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA dengan dua perlawanan peringkat kumpulan masih berbaki.

Sementara itu, seteru lama Ronaldo dalam perebutan gelaran pemain terbaik dunia, Lionel Messi, akan beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama Argentina apabila menentang Benin dalam aksi persahabatan di Buenos Aires, Selasa ini.– AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here