Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, Kampung Jedok, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Mohd Afzainizam Deris, 44, menunggang motosikal Yamaha RXZ, manakala Muhammad Zulfikar Abdul Rahman Wan, 34, menunggang motosikal Honda RSX.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, polis hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta keadaan yang membawa kepada kemalangan berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, khususnya saksi yang berada di lokasi atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam), supaya tampil membantu siasatan.
IMedikel TV






