Oleh: Wartawan IMedikel TV
BATU PAHAT: Arwah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, pelajar Tingkatan Empat yang ditemui maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, semalam, menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor pakar.
Anak tunggal yang mesra dipanggil ‘Ya’ itu mahu meneruskan legasi arwah ibunya yang juga seorang doktor pakar di Hospital Awam, yang telah meninggal dunia akibat kanser kira-kira lapan tahun lalu.
Ibu saudara arwah, Siti Nur Faeza Khyar, 45 yang juga seorang guru, berkata dia pulang ke rumah ibunya (nenek Sofiya) minggu ini untuk membantu arwah mengulang kaji mata pelajaran Biologi bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun yang sedang berlangsung.

“Dia nak jadi doktor. Jadi dia tanya saya, Mak Long rasa Ya patut jadi doktor apa? Saya cakap, kalau tanya Mak Long, Mak Long nak Ya jadi doktor pakar sakit puan sebab kita tak ramai doktor pakar sakit puan perempuan.
“Jadi dia kata, okey kalau macam tu Ya letak cita-cita yang pertama jadi doktor pakar sakit puan, yang kedua Ya nak jadi pakar kesihatan awam macam arwah mami,” katanya menceritakan keperibadian anak saudaranya di kediaman ayahnya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng di sini hari ini.
Siti Nur Faeza menyifatkan arwah seorang anak saudara yang pendiam, mudah dijaga dan tidak banyak kerenah.
“Kalau pasal pelajaran, dia akan buat ulang kaji sendiri tanpa perlu disuruh. Biasanya memang dia takkan susahkan orang, senang cerita takkan menyusahkan kita orang.
“Saya cuma berharap semoga kes ni dapat diselesaikan secepat mungkin, pelaku dapat dijatuhkan hukuman yang setimpal supaya perkara ni tak berlaku pada orang lain pula. Tu je harapan saya,”katanya.
Sementara itu, datuk arwah, Khyar Abbas, 69 yang menjaga Irene Sofiya sejak berusia sembilan tahun, mezahirkan kesedihan mendalam atas pemergian cucunya itu.

Katanya pemergian arwah dalam keadaan tragis dan tidak pernah dibayangkan.
“Saya sungguh sedih. Jadi pemergian cucu saya ini, dengan cara yang tragis.
“Kalau dia pergi dengan keadaan yang sakit ke atau yang lain (sebab lain), tapi dengan keadaan dia yang begini, saya pun tak sampai hati nak menggambarkan macam mana keadaan dia masa ditemui semalam.
“Macam mana dia menghabiskan umur (nyawa) dia (sebak).
“Arwah memang budak yang baik, kawan-kawan dan semua guru-guru pun kata dia baik. Semoga dia dirahmati Allah,”katanya.
Irene Sofiya kini dalam proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Jenazah arwah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran kediaman datuknya selepas solat Asar.
IMedikel TV






