Home Buletin Semasa MAYAT LELAKI WARGA ASING DITEMUI TERTIMBUS DALAM TANAH RUNTUH DI GUA MUSANG

MAYAT LELAKI WARGA ASING DITEMUI TERTIMBUS DALAM TANAH RUNTUH DI GUA MUSANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Mayat seorang lelaki warga asing yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kebun sayur berhampiran Pondok Polis Loging, di sini, ditemukan pasukan penyelamat hari ini.

Mangsa ditemukan pada kira-kira jam 12.55 tengah hari selepas dikesan anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di bawah timbunan tanah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada jam 8.55 pagi dengan bantuan sebuah jentera jengkaut bagi memudahkan kerja-kerja penggalian.

“Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari lokasi tertimbus dan diserahkan kepada pihak polis pada jam 1.10 tengah hari.

“Operasi pencarian membabitkan anggota BBP Gua Musang, Unit STORM Negeri, Unit K9 JBPM bersama tiga anjing pengesan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan IKRAM serta orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pada Jumaat lalu, Bilik Kawalan BBP Gua Musang menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Gua Musang pada jam 4.12 petang berhubung kejadian tanah runtuh di sebuah kebun sayur kira-kira lima kilometer dari Pondok Polis Loging.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 5.30 petang mendapati berlaku runtuhan tanah dari cerun setinggi kira-kira 50 meter, dengan sebuah rumah kongsi binaan kayu dipercayai tertimbus.

“Operasi mencari mangsa terpaksa ditangguhkan pada jam 7.10 malam berikutan keadaan semakin gelap sebelum disambung semula pada keesokan pagi,” katanya.

Bagaimanapun, operasi pada Sabtu lalu turut terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat sebelum disambung semula hari ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here