Home Buletin Semasa MINDEF SIAP SEDIA SEBARANG KONFLIK DI PULAU BALABAC, TAMBAH KEKUATAN ANGGOTA DI...

MINDEF SIAP SEDIA SEBARANG KONFLIK DI PULAU BALABAC, TAMBAH KEKUATAN ANGGOTA DI SABAH, SARAWAK

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mengimbangkan keanggotaan tentera kepada nisbah 50 peratus di Semenanjung Malaysia dan 50 peratus di Sabah serta Sarawak, bagi memperkukuh benteng pertahanan negara berikutan peningkatan aktiviti ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan limpahan konflik geopolitik, kerana lokasi Pulau Balabac terletak kira-kira 50 kilometer dengan Sabah.

Katanya ketika ini dua pertiga daripada keseluruhan kira-kira 20,000 anggota pada setiap masa, ditempatkan di Semenanjung Malaysia, manakala hanya satu pertiga berada di Sabah dan Sarawak.

“Kita nak supaya kedudukan anggota Sabah, Sarawak itu 50 peratus di Semenanjung, 50 peratus di Sabah, Sarawak. Jadi kita nak imbang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, tindakan mengukuhkan benteng pertahanan di Sabah adalah sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang pertembungan kuasa besar di rantau berkenaan, termasuk kemungkinan krisis pelarian.

Katanya ia bukan soal kebimbangan negara terhadap kerjasama Filipina dengan Amerika Syarikat (AS) serta China.

“Saya nak jelaskan, bukan kita khuatir soal peningkatan ketenteraan di Pulau Balabac, tetapi yang kita nak tekankan apabila Filipina meningkatkan pangkalan dan kehadiran tentera AS dan sebagainya di sana.

“Oleh kerana Pulau Balabac itu terlalu dekat dengan Malaysia, jika berlaku apa-apa pertikaian atau pertempuran di kawasan yang kecil geopolitiknya, kesannya boleh melimpah ke Malaysia.

“Jadi atas sebab itulah kita kena pastikan kita dalam keadaan yang bersedia, bukan sebab kita nak berhadapan dengan Pulau Balabac itu, cuma ia soal bila berlakunya pertempuran, pertembungan ataupun apa-apa yang terdapat di kawasan itu.

“Ini kerana apabila Filipina dengan disokong oleh AS menumpukan pada kawasan Pulau Balabac, dengan China pun nanti kalau katakan berlaku apa-apa pertempuran yang tak dijangkakan, dia mesti akan merebak kepada kita.

“Jadi jangan salah faham, bukan kerana Pulau Balabac kita bertindak begitu, tetapi sebagai satu persediaan jika berlaku konflik atau apa-apa yang melimpah ke kawasan kita, kita sudah bersedia,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here