Home Sukan KUMAR TAK PUAS HATI BENAM INDONESIA 3-0 SAHAJA

KUMAR TAK PUAS HATI BENAM INDONESIA 3-0 SAHAJA

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad wanita negara, CR Kumar tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Sukan Asia di Stadium Gifu Prefectural Green, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Malaysia yang berada di ranking ke-21 dunia akan menentang Taiwan atau Thailand dalam perlawanan penentuan tempat kelima, Jumaat ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut ke atas Indonesia sejak Sukan SEA Myanmar 2013.

Skuad wanita Malaysia bergelut menentang Indonesia yang menghuni ranking ke-39 dunia dan dibimbing jurulatih kelahiran Malaysia, Iman Gobinathan Abdullah, sebelum Zati Alyani Zubir membuka tirai jaringan pada minit ke-20.

Malaysia yang menduduki tempat kelima dalam lima edisi Sukan Asia berturut-turut sejak Doha 2006, kemudian menyempurnakan dua pukulan sudut penalti menerusi Khairunnisa Ayuni Sharuddin pada minit ke-41 dan 55.

Kumar yang berasal dari India dan dilantik sebagai jurulatih pada April lalu berkata, beliau sememangnya tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

“Tiga gol bukan sasaran kami ketika menentang Indonesia kerana kami terlepas banyak peluang menjaringkan gol. Kami memperoleh 12 pukulan sudut penalti dalam perlawanan ini tetapi hanya berjaya menyempurnakan dua. Kadar penyudah ini sangat rendah.

“Kami terlalu banyak bertahan dalam separuh bulatan sendiri. Kami juga melakukan beberapa kesilapan dalam perlawanan dan perlu memperbaiki kelemahan untuk aksi seterusnya menentang Taiwan atau Thailand.

“Saya yakin pemain akan beraksi jauh lebih baik dan memberikan persembahan lebih mantap dalam perlawanan seterusnya untuk menamatkan saingan di tempat kelima. Kami perlu menduduki tempat kelima bagi melayakkan diri ke Kelayakan Olimpik (untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028),” katanya.

Skuad wanita Malaysia tidak pernah beraksi di pentas Olimpik. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here