Home Buletin Semasa ESSCOM REKOD NILAI RAMPASAN LEBIH RM407 JUTA 

ESSCOM REKOD NILAI RAMPASAN LEBIH RM407 JUTA 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SABAH: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama 15 agensi keselamatan dan penguatkuasaan selama dua hari di daerah Beluran merekodkan tindakan penguatkuasaan dan rampasan bernilai keseluruhan RM407,644.69.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi pada 28 dan 29 September itu membabitkan kekuatan keseluruhan 184 pegawai dan anggota.

Menurutnya, operasi bersepadu berkenaan turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak berkuasa tempatan.

Katanya operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, kenderaan dan lokasi terpilih yang disyaki digunakan untuk menyimpan rokok serta minuman keras tidak bercukai, selain mengesan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.

“Sebanyak 70 premis perniagaan dan 170 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi, termasuk tiga lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

“Daripada jumlah keseluruhan RM407,644.69, tindakan penguatkuasaan mencatat nilai tertinggi sebanyak RM293,450.16, membabitkan kompaun, saman, tunggakan, bayaran serta tindakan berkaitan di bawah akta, undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan agensi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai pula dianggarkan bernilai RM114,194.53 termasuk duti.

Katanya dalam operasi berkenaan, JTK Sabah mengeluarkan enam kompaun bernilai RM159,000, empat notis pematuhan serta mengarahkan pembayaran tunggakan berjumlah RM48,100.16 bagi kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah (Bab 67).

“Tindakan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan penguatkuasaan JTK Sabah bernilai RM207,100.16.

“SSM pula mengeluarkan enam kompaun bernilai RM30,000 di bawah Akta Syarikat 2016 selain tujuh notis pematuhan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.

“KWSP turut memeriksa 14 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, selain mengenal pasti lima kes untuk siasatan lanjut berkaitan pematuhan tanggungjawab caruman,” katanya.

Katanya bagi JPJ, sebanyak 170 kenderaan diperiksa dengan 37 saman dikeluarkan bernilai RM6,250, manakala Majlis Daerah Beluran mengeluarkan kompaun RM100 kepada dua premis perniagaan kerana gagal menguruskan sampah dengan betul.

Dalam pada itu, beliau berkata rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai dilaksanakan di bawah Akta Kastam 1967 dan semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“JIM pula memeriksa 56 individu dan tidak mengesan sebarang kesalahan imigresen, manakala pemeriksaan JPN terhadap 15 individu mendapati semua dokumen yang dikemukakan adalah tulen dan sah,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, bersubsidi dan tidak bercukai serta mengekang keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Operasi bersepadu berkenaan turut menekankan aspek pencegahan dan pengesahan pematuhan, selain memperkukuh perkongsian maklumat serta koordinasi antara agensi.

“Penekanan turut diberikan kepada usaha meningkatkan kehadiran dan dominasi pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan di kawasan yang dikenal pasti bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu merupakan sebahagian usaha berterusan ESSCOM memperkasa keselamatan dan penguatkuasaan di ESS Zone menerusi kerjasama PDRM, ATM serta agensi penguatkuasaan Persekutuan, Negeri dan PBT, selaras dengan hasrat ESSCOM ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’.

“ESSCOM turut menegaskan operasi bersepadu seumpama itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa di daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang jenayah rentas sempadan, penyeludupan, ketirisan barang kawalan dan bersubsidi, keberadaan PATI serta aktiviti lain yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah Timur,” katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan di ESS Zone kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau menerusi WhatsApp 011-63311072.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here