Home Buletin Semasa KENDERAAN MEWAH MILIK USAHAWAN KOSMETIK, PEMPENGARUH ANTARA 3,790 DISITA JPJ DALAM OPS...

KENDERAAN MEWAH MILIK USAHAWAN KOSMETIK, PEMPENGARUH ANTARA 3,790 DISITA JPJ DALAM OPS LUXURY

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan terdapat golongan T20 termasuk usahawan kosmetik dan pempengaruh dikesan tidak memperbaharui cukai jalan serta insurans kenderaan mereka.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, status atau nilai sesebuah kenderaan tidak memberikan sebarang keistimewaan daripada tindakan penguatkuasaan, malah setiap pemilik dan pemandu tertakluk kepada undang-undang yang sama.

“Antara kesalahan utama dikesan ialah kegagalan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta insurans, selain kesalahan berkaitan lesen memandu dan aspek teknikal kenderaan.

“Kenderaan yang dikesan dalam operasi berkenaan kebanyakannya berada dalam kategori bernilai antara RM250,000 hingga RM1 juta, termasuk model seperti BMW, Mercedes, Toyota Alphard dan Vellfire.

“Golongan pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan juga terdiri daripada pelbagai latar belakang, antaranya usahawan, peniaga dan pempengaruh (influencer), selain terdapat pemilik yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan mewah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji, di sini hari ini. 

Lebih mengejutkan, katanya, terdapat kenderaan yang direkodkan tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2014 namun masih digunakan di jalan raya.

Katanya, terdapat trend baharu pemilik kenderaan mewah itu enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans dengan alasan mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kesalahan lampau yang paling banyak dikesan adalah gagal mematuhi ketetapan had laju atau mempunyai saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

“Golongan T20 mengambil mudah untuk membayar saman berbanding golongan berpendapatan rendah, saya boleh puji sikap golongan marhaen kerana boleh menyelesaikan saman,” katanya. 

Katanya sebanyak 3,790 kenderaan mewah disita JPJ di seluruh negara menerusi Ops Kenderaan Mewah (Ops Luxury) sejak Jun tahun lalu hingga semalam.

“Jumlah itu membabitkan 785 kenderaan yang disita dari Jun hingga Disember 2025, manakala 3,005 lagi disita sepanjang 1 Januari 2026 hingga semalam.

“Negeri Sembilan merekodkan jumlah sitaan tertinggi dengan 465 kenderaan, diikuti Selangor sebanyak 410, Kuala Lumpur 382, Johor 367 dan Pulau Pinang 357 kenderaan,” katanya.

Muhammad Kifli menegaskan, Ops Khas Luxury akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan.

“Tindakan tegas termasuk sitaan akan dikenakan terhadap mana-mana kenderaan yang dikesan tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here