Home Hiburan SEBELUM ‘TIBAI’ DRAMA, FILEM PUNCA BULI, TENGOK DAHULU REALITI DI DEPAN MATA...

SEBELUM ‘TIBAI’ DRAMA, FILEM PUNCA BULI, TENGOK DAHULU REALITI DI DEPAN MATA – RITA RUDAINI

KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini meminta masyarakat tidak menjadikan drama dan filem sebagai ‘kambing hitam’ setiap kali isu budaya buli dalam kalangan pelajar dibangkitkan.

Memetik laporan Berita Harian,sebaliknya, Rita percaya budaya buli perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan meneliti sistem, persekitaran dan cara aduan dikendalikan termasuk tindakan pihak yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa.

“Jangan terlalu cepat salahkan drama dan filem. Kadang-kadang contoh buli yang paling dekat dengan anak-anak bukan di skrin, tetapi, datang daripada orang dewasa yang mempunyai kuasa dan sepatutnya melindungi mereka.

“Sebelum kita sibuk ‘tibai’ filem atau drama kononnya punca budaya buli, tengok dahulu apa yang berlaku dalam dunia sebenar.

“Filem dan drama berunsur ganas atau berkisarkan buli bukan benda baharu. Dari dulu sudah ada, termasuk drama tempatan seperti Juvana dan banyak drama Korea Selatan yang mengangkat isu buli.

“Lebih bahaya bukan apabila buli dipaparkan di skrin, tetapi apabila buli berlaku depan mata, mangsa sudah bersuara, tetapi orang yang sepatutnya melindungi memilih untuk menutup cerita,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.

Rita berkata, perkara lebih membimbangkan apabila wujud budaya mendiamkan diri dalam menangani kes buli sehingga menyebabkan mangsa takut untuk bersuara dan mendapatkan bantuan.

Tambahnya, pengalaman anaknya ketika bersekolah turut membuka matanya mengenai perkara itu, sekali gus membuatkan dia sentiasa mengingatkan anak supaya tidak memendam sekiranya berdepan sebarang bentuk buli.

“Bila budak buat aduan, ada yang dilabel ‘lembik’ oleh guru dan rakan. Bila ibu bapa buat laporan polis, ada yang diminta tarik balik.

“Ada kes yang cuba disapu bawah karpet demi menjaga nama dan imej sekolah.

“Ada juga anak-anak yang takut bercerita kepada ibu bapa kerana bimbang selepas itu mereka pula menjadi sasaran warden, guru atau pelajar ‘senior’.

“Bila perkara seperti ini berlaku, anak-anak akan rasa mereka tidak ada tempat untuk berlindung,” katanya.

Justeru, Rita sentiasa menekankan kepada anak-anaknya supaya berani tampil bersuara sekiranya menjadi mangsa buli atau menyaksikan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya selalu cakap kepada anak, kalau kena buli, bersuaralah. Jangan pendam. Walaupun perkara itu kecil, walaupun sebesar kuman, Mommy tempat kamu untuk luah.

“Saya mahu anak tahu, apa sahaja yang berlaku, dia boleh datang dan cerita kepada saya,” katanya.

Menurut Rita, ibu bapa tidak seharusnya memandang ringan perubahan tingkah laku anak atau menganggap aduan mengenai buli sebagai perkara kecil.

Katanya, keberanian anak untuk bercerita perlu diberi perhatian kerana itu menunjukkan mereka masih percaya kepada orang dewasa untuk membantu melindungi diri.

“Kalau anak sudah berani bercerita, kita dengar. Jangan terus suruh dia diam atau anggap dia lembik.

“Budaya mendiamkan diri inilah yang saya rasa sangat membimbangkan kerana akhirnya anak-anak akan fikir mereka terpaksa hadap semuanya seorang diri,” katanya.

Rita berkata, isu buli juga perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan tidak wajar masyarakat hanya mencari satu punca untuk dipersalahkan.

“Kalau kita mahu anak-anak berhenti membuli, kita sebagai orang dewasa juga kena tunjuk contoh yang betul.

“Jangan hanya tengok apa yang ada dalam drama atau filem, tetapi tutup mata terhadap apa yang berlaku di depan mata kita sendiri,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here