Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bertindak menyita lori dengan muatan buah kelapa sawit yang berada dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasik Bera, kelmarin.
Dua individu dipercayai pemandu dan pembantunya turut ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali, berkata lori terbabit ditahan selepas pasukan operasi terserempak dengan kenderaan berkenaan ketika menjalankan rondaan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera.

“Pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan buah kelapa sawit dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1), Seksyen 15 dan Seksyen 81(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dengan memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran serta mengambil dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran,” katanya di sini kelmarin.
Menurutnya, tindakan menyita lori berkenaan mencetuskan kekecohan apabila pasukan berdepan halangan daripada penduduk setempat ketika cuba membawa keluar kenderaan terbabit.
“Lori membawa muatan sawit yang disita kemudian dibawa ke pusat sitaan UPNP Zon Tengah di Mentakab, Temerloh untuk tindakan lanjut.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan cuba menghalang tugas yang kita jalankan,” katanya.
Katanya operasi bersepadu Hutan Simpan Kekal Tasek Bera diadakan sebulan bermula 14 September melibatkan lima agensi penguat kuasa seperti UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) , Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (PERHILITAN) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Daerah Bera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7.
“Operasi secara 24 jam turut melibatkan kerja pemasangan pagar di beberapa pos kawalan bagi memperkemas kawalan di kawasan HSK Tasek Bera,” katanya.
IMedikel TV






