Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kuartet 4x100m (meter) perempuan bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah tampil membuktikan kehebatan selepas meraih pingat emas Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-66 di Stadium Darul Makmur, semalam.
Empat atlet terbabit terdiri daripada Nur Alferra Nissa Nordye, Siti Norjahera Beliamor, Hetty Diyana Reny dan Welrina Wewin Welter yang merupakan pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS).
Pada saingan akhir 4x100m kuartet MSS Sabah mencatat masa 48.51s (saat) untuk meraih pingat emas, pingat perak MSS Selangor (48.85s) dan pingat gangsa MSS Terengganu (49.14s).
Bagi Nur Alferra Nissa, penyertaan kali kedua MSSM mencetuskan kejayaan yang begitu membanggakan buat mereka apabila meraih pingat emas yang akan menjadi hadiah terakhir penyertaan kejohanan peringkat sekolah.
Katanya, usaha tanpa putus asa, semangat berpasukan, latihan berterusan dan anugerah Allah menjadi faktor utama kemenangan yang begitu bermakna buat mereka dan kontinjen MSS Sabah.
“Kehadiran kami ke Kuantan (MSSM) membawa impian yang menggunung untuk meraih pingat emas dalam 4x100m yang telah tercapai, selain acara individu. Saya dan rakan turut bersaing dalam acara 100m, 200m dan 400m.
“Saingan MSSM kali ini lebih mencabar, kehadiran ramai atlet Sekolah Sukan Malaysia negeri mencetuskan persaingan yang sengit dan sukar diramal untuk meraih kejayaan,” katanya yang turut beraksi dalam acara 100m berakhir dengan kegagalan.
Rakannya, Siti Norjahera yang turut meraih pingat gangsa dalam acara 400m berpendapat kejayaan memenangi pingat emas dalam acara 4x100m tidak mereka duga kerana berhadapan dengan pencabar kuat seperti MSS Selangor dan MSS Terengganu.
“Ternyata rezeki berpihak pada kami apabila mampu memberi persembahan terbaik terutama pada 50m menuju ke garisan penamat, larian pantas pelari terakhir (Welrina Wewin) menafikan pelari lain.
“MSSM terakhir buat kami kali ini begitu bermakna dengan kejayaan meraih pingat emas 4x100m, janji menyumbang pingat emas untuk kontinjen MSS Sabah berjaya ditunaikan,” katanya yang turut beraksi dalam acara 200m dan 400m.
IMedikel TV






