Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Persembahan bertenaga menjadi kelebihan buat pasukan Mat Kilau menewaskan Mat Lela 2-0 untuk muncul juara acara bola tampar Karnival Sukan Kakitangan Penjara Penor di Gelanggang Bola Tampar Penjara Penor, di sini kelmarin.
Pada perlawanan yang begitu sengit itu, pasukan Mat Kilau yang dipimpin oleh Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara (PP) Mohamad Hasnor Abd Hamid terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menjinakkan lawan 25-21 dan 25-19.
Aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan yang tampil dengan misi memburu kejuaraan pertama musim ini, ternyata pengalaman menjadi kelebihan buat pasukan Mat Kilau untuk mencatat kemenangan bergaya menafikan semangat melawan pemain Mat Lela.
Mohamad Hasnor berkata, turun dengan impian mencatat kemenangan menjadi pembakar semangat buat pemain beraksi dengan penuh bergaya pada pertemuan dua set perlawanan yang berkesudahan berpihak pada Mat Kilau.
“Cabaran perlawanan set pertama agak mencabar dengan aksi memburu mata begitu sengit, di penghujung perlawanan lawan melakukan beberapa kesilapan membolehkan Mat Kilau memungut mata mudah hingga tamat perlawanan. Pada set kedua kemenangan dilihat mudah dicapai apabila pemain lawan hilang tumpuan.
“Saya mengucapkan terima kasih pada pemain yang berjaya mempamerkan persembahan terbaik sepanjang perlawanan, rentak melawan pemain lawan mudah dipatahkan.
“Kerjasama pemain sepanjang kejohanan kali ini memberi laluan kepada pasukan Mat Kilau melangkah dipentas akhir seterusnya menjulang kejuaraan,” katanya yang berpuas hati dengan pencapaian kali ini.
Beliau menambah, kejuaraan yang dilakar kali ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.
Karnival sukan kakitangan Penjara Penor akan menutup tirainya pada Oktober depan turut membabitkan acara badminton, boling, bola sepak, futsal, bola tampar dan petanque.
IMedikel TV






