Home Buletin Semasa SEMBUNYI DALAM LONGKANG, DUA WARGA ASING  DICEKUP IMIGRESEN SARAWAK

SEMBUNYI DALAM LONGKANG, DUA WARGA ASING  DICEKUP IMIGRESEN SARAWAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUCHING: Cubaan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam longkang gagal selepas kedua-duanya dikesan dan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kuching.

Menerusi kenyataan di laman rasmi, kedua-duanya cuba melarikan diri ketika operasi membabitkan pemeriksaan di tujuh lokasi sekitar Westfield Points, Jalan Tun Hussein Onn, Pekan Batu 10 dan Kota Sentosa, pada Isnin lalu.

“Operasi Ops Selera dan Ops Kutip itu dijalankan dari jam 10 pagi hingga tengah malam, dengan pemeriksaan tertumpu di premis kedai makan serta kedai-kedai yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

“Dalam operasi berkenaan, beberapa cubaan melarikan diri turut berlaku, namun kesemuanya berjaya ditangani hasil tindakan pantas dan ketangkasan anggota penguat kuasa,” kata JIM.

Menurut JIM, secara keseluruhan, seramai 48 individu diperiksa dan 43 orang ditahan untuk tindakan lanjut, manakala satu saman saksi turut dikeluarkan.

“Operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan maklumat aduan awam serta hasil risikan JIM Kuching.

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Mereka kemudiannya dibawa untuk tindakan serta siasatan lanjut,” kata JIM.

JIM Sarawak memaklumkan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan berasaskan risikan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa diberi keutamaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here