Home Buletin Semasa 53 WARGA ASING DITAHAN, TUJUH VAN DISITA

53 WARGA ASING DITAHAN, TUJUH VAN DISITA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 53 warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah dalam operasi khas membanteras kegiatan pengangkutan warga asing disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), di Kajang dan Putrajaya, Isnin lalu.

Menerusi laman rasmi JIM, operasi yang dijalankan dari jam 3 petang hingga 6 petang itu turut menyita tujuh van selepas dipercayai digunakan untuk membawa warga asing berulang-alik ke tempat kerja.

“Operasi membabitkan 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Tindakan Khas (PASTAK), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dalam operasi berkenaan, tujuh van telah ditahan untuk pemeriksaan dan enam daripadanya didapati dipandu warga asing, terdiri daripada lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.

“Kesemua mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, selain tidak mempunyai lesen memandu kompeten yang sah. Sebahagian daripada mereka turut menggunakan lesen percubaan,” menurut JIM.

JIM berkata hasil siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing terbabit mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van warga tempatan.

“Seorang lelaki warga tempatan adalah pemandu merangkap pemilik van turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” kata JIM.

JIM berkata pemeriksaan terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan 53 warga asing, terdiri daripada 44 warga Indonesia iaitu 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar.

“Mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah dan dipercayai menggunakan perkhidmatan van berkenaan untuk berulang-alik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya.

“Mereka dipercayai membayar sekitar RM100 sebulan bagi mendapatkan perkhidmatan pengangkutan tersebut.

“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” kata JIM.

JIM turut menyita kesemua tujuh van berkenaan dan sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelas JIM.

JIM menegaskan pihaknya memandang serius kegiatan yang membantu pergerakan, pekerjaan dan keberadaan PATI di negara ini.

JIM berkata tindakan penguatkuasaan turut akan dikenakan terhadap individu, majikan, pemilik kenderaan, pelindung serta mana-mana pihak yang bersubahat atau memudahkan kegiatan berkenaan, termasuk di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here