KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda menyifatkan barisan pelakon muda yang membintangi drama bersiri Kudrat 1968: High Council mempunyai potensi besar menjadi pelapis industri lakonan tanah air, sekali gus mencorakkan landskap seni tempatan pada masa depan.
Memetik laporan Berita Harian, Nabila yang turut menjayakan naskhah itu berkata, keupayaan mereka menghidupkan karakter masing-masing membuktikan kelompok pelakon baharu memiliki bakat yang boleh dikembangkan jika terus konsisten dalam kerjaya.
Bagaimanapun, pelakon berusia 42 tahun itu berkata, pencapaian dan populariti menerusi sesebuah karya tidak seharusnya membuatkan pelakon mudah berubah, sebaliknya perlu terus menjaga sikap, disiplin dan merendah diri.
“Pelakon-pelakon muda ini memang berbakat. Saya berharap pada masa akan datang, dengan fenomena Kudrat 1968: High Council, mereka tidak akan berubah.
“Sebab daripada setiap karakter yang saya tengok, mereka mempunyai potensi besar untuk menjadi pelapis pada masa akan datang,” katanya pada sidang media festival muzik Ultra Kalcer 2026 anjuran Neptunes Presents di Volume KL di sini, baru-baru ini.
Mengulas senario pelakon lelaki dalam industri kreatiff tempatan ketika ini, Nabila mengakui jumlah pelakon yang benar-benar boleh diketengahkan sebagai pelapis agak terhad.
Menurutnya, sebilangan pelakon yang mempunyai rupa belum mampu memberikan mutu lakonan yang baik, manakala kelompok yang memiliki kedua-dua elemen berkenaan pula tidak ramai.
“Memang kita kekurangan pelakon lelaki di Malaysia yang boleh dianggap sebagai pelapis. Buat masa ini, hanya beberapa orang kerana ada yang boleh berlakon. Ada yang mempunyai wajah kacak tetapi tidak boleh berlakon.
“Tetapi bagi saya, semua pelakon pelapis dalam Kudrat 1968: High Council ini memang hebat sampai saya sendiri pun teruja,” katanya.
Berkongsi pengalaman bekerja bersama pelakon muda, Nabila berkata, dia mengambil kesempatan memerhati cara mereka bekerja dan berinteraksi sepanjang berada di set penggambaran.
“Sudah tentu apabila saya mendapat peluang untuk bekerja bersama mereka, saya akan tengok dan perhatikan apa yang mereka lakukan di set penggambaran.
“Sebab selalunya apabila saya dengar, pelakon-pelakon muda ini selalu main telefon, buat kandungan dan macam-macam lagi.
“Tetapi tidak, Alhamdulillah. Saya jumpa semuanya yang memang tidak pegang telefon di lokasi. Mereka sangat komited.
“Malah, ada yang menulis nota dan sebagainya. Bagi saya, ini memang bagus. Ini boleh memberikan sesuatu yang baik untuk industri,” katanya.
Nabila turut menitipkan pesanan kepada pelakon muda supaya tidak mudah berubah apabila mula mengecapi populariti dan kejayaan dalam kerjaya.
“Saya berharap semua pelakon baharu, anak-anak muda yang ada sekarang, terus merendah diri selama-lamanya. Ingat, misi kamu hanya satu.
“Apa saja niat dan impian kamu, biarlah sampai kamu tua, niat itu kekal sama. Saya sangat bangga dengan kamu semua,” katanya.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28 ini berkata, penting untuk pelakon baharu membina hubungan baik dengan bintang ‘senior’ ketika berada di set penggambaran.
“Sudah tentu sangat penting untuk bergaul di set penggambaran. Jangan terlalu menyendiri. Kamu kena bergaul.
“Sebab saya pun ketika masih muda dan baru berlakon, saya bergaul dengan semua pelakon ‘senior’. Saya mahu timba apa sahaja yang mereka ada. Saya mahu tahu pengalaman hidup mereka,” katanya.
Meskipun memahami ada pelakon yang lebih selesa menyendiri atau berdepan kesukaran bersosial, bagi Nabila, mereka tetap perlu mencari ruang untuk mendekati dan berinteraksi dengan pelakon ‘senior’ demi mendapatkan ilmu serta pengalaman.
“Mungkin ada yang terlalu ‘introvert’ atau berdepan kebimbangan sosial, malah kadang-kadang ada yang memang tidak suka berbual dengan orang kerana fokus menghafal dialog.
“Sebab kalau berbual, nanti semuanya hilang. Tetapi kita kena pandai-pandai mendekati mereka.
“Apabila berjaya mendekati pelakon ‘senior’, dapat tangkap perhatian mereka, bersembanglah dan tanya pengalaman mereka atau berbual ,mengenai apa sahaja perkara.
“Sebab kita tidak tahu, orang-orang ‘senior’ ini, entah bila lagi kita akan dapat jumpa mereka. Suatu hari nanti, tiba-tiba esok lusa mereka sudah tiada,” katanya.
Pada masa sama, Nabila mengingatkan pelakon baharu supaya menghargai setiap peluang dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di set penggambaran.
“Jadi, nikmatilah setiap detik kerana kehidupan di set itu memang sangat indah apabila kita dapat berada, bergaul dan bekerja bersama orang-orang yang berbakat serta pelakon ‘senior’.
“Masing-masing ada bakat luar biasa yang mungkin orang lain tidak akan dapat. Ini seperti kamu adalah insan terpilih untuk berada bersama orang-orang seperti ini. Jadi, hargailah setiap detik itu,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






