Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Atlet jarak jauh Pahang, Shaikh Ahmad Fahmi Shaikh Ahamad Fauzi menjadi penyumbang pertama pingat emas untuk kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Pahang menerusi acara 800 meter.
Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-66 berlangsung di Stadium Darul Makmur, semalam.
Pada saingan akhir atlet kelahiran Kuantan itu melakukan catatan 1:54.16s (saat) untuk meriah pingat emas meninggalkan atlet MSS Johor M Sivesh Rao ditempat kedua dengan masa 1:56.73s dan ketiga Hon Jia Heng (MSS Johor) 1:57.01s.
Pada peringkat separuh Shaikh Ahmad Fahmi menamatkan saingan ditangga kedua dengan catatan masa 1:58.82s dibelakang atlet MSS Johor, Jia Heng (1:58.78s) dan ketiga, Muhammad Absyar Hafiy Khairul (1:58.97s) dari MSS Kedah.
“Masa terbaik dalam acara 800m ialah 1:54:53s, hari ini (semalam) catatan berkenaan dapat dipadam di tempat sendiri. Kejayaan ini amat membanggakan terutama selepas mengadakan persiapan yang panjang,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka menjadi penyumbang pertama pingat emas untuk kontinjen MSS Pahang pada hari pertama acara olahraga MSSM dipertandingkan semalam.
Tambahnya lagi, saingan dalam acara 800m memang sengit terutama daripada dua atlet MSS Johor yang mencatat keputusan memuaskan diperingkat separuh akhir dua dan tiga, cabaran juga hadir daripada atlet MSS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan MSS Sabah.
“Kejayaan meraih pingat emas pada hari pertama ini menjadi pembakar semangat pada saya untuk terus berjuang memburu kemenangan dalam acara 1500m dan 2,000m berhalangan.
“Beraksi ditempat sendiri sambil mendapat sokongan peminat olahraga tempatan diharap menjadi kelebihan pada saya memberi persembahan terbaik untuk kontinjen MSS Pahang,” katanya yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Beliau menambah, sejak tiga tahun bersama kontinjen MSS Pahang dipentas MSSM dia telah menyumbang satu pingat emas dan satu gangsa dan pada MSSM kali ini sasaran tiga pingat emas digalas.
Tidak mustahil impian itu menjadi kenyataan di arena sendiri.
“Impian saya selepas ini untuk terpilih mewakili negara bawah 20 tahun dipentas Sukan SEA 2027, kejayaan pada MSSM kali ini menjadi sandaran bagi menguatkan peluang untuk terpilih bersama kontinjen negara.
“Saya akan meneruskan perjuangan dalam acara 1500m dan 2,000m berhalangan, kejayaan diharap terus berpihak pada saya,” katanya yang ingin mendakap tiga pingat emas kali ini.
IMedikel TV






