Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Kegagalan sistem brek dipercayai menjadi punca sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hilang kawalan sebelum melanggar dua kenderaan persendirian di Simpang Tiga Kampung Neting, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, ambulans jenis Toyota Hiace berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah Kelaboran menuju ke Pengkalan Kubor.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati ambulans terbabit dipercayai mengalami kegagalan sistem brek ketika tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, ambulans itu kemudian hilang kawalan sebelum melanggar sebuah Proton Waja yang dipandu wanita berusia 33 tahun dan Perodua Viva dipandu wanita berusia 29 tahun, masing-masing datang dari arah Kota Bharu.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Proton Waja mengalami pendarahan pada bahagian kepala manakala pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan pada bahagian lutut kiri.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
IMedikel TV






