Gaza City: Pihak berkuasa Gaza pada Rabu memaklumkan 12 kanak-kanak antara 21 yang maut selepas sebuah bangunan pangsapuri runtuh akibat kerosakan dialami dalam serangan Israel sebelum ini.
Memetik laporan Harian Metro, Agensi pertahanan awam yang berfungsi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas berkata, bangunan enam tingkat dengan empat pangsapuri di setiap tingkat, runtuh pada sebelah malam menimpa rumah dan khemah berhampiran di kawasan Tal al-Hawa, Gaza City.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebahagian besar bangunan di Gaza rosak atau musnah akibat serangan Israel sepanjang perang dengan Hamas.
Di Hospital Al-Shifa, Gaza City, wartawan AFP melihat beberapa lelaki menangis sambil membawa jasad kanak-kanak yang dibalut kain kafan putih.
Saudara-mara mangsa duduk mencangkung di lantai untuk mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada insan tersayang, sambil mencium wajah mangsa dalam tangisan.
Agensi pertahanan awam berkata, bangunan berkenaan didiami lebih 100 penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan sebelum ini mengalami kerosakan akibat serangan Israel.
Katanya, pasukan penyelamat selepas berjam-jam menjalankan operasi mencabar, berjaya mengeluarkan jasad 21 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, turut mengesahkan jumlah korban sama, termasuk 12 kanak-kanak dan lima wanita.
Agensi pertahanan awam berkata, pihaknya turut membantu membawa 45 mangsa yang cedera ke hospital.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal, berkata bangunan itu beberapa kali diserang pada 2024 dan Mac 2025, menyebabkan penduduk diberi amaran supaya tidak kembali ke situ.
“Mereka tiada pilihan lain. Tanpa khemah atau rumah untuk didiami, mereka tinggal di bangunan yang retak dan rosak walaupun berdepan risiko runtuh,” katanya.
Rakaman AFP pada awal Rabu menunjukkan bangunan itu berubah menjadi timbunan konkrit pecah yang besar, dengan atas pasukan penyelamat memakai jaket keselamatan berwarna terang kelihatan di celahnya ketika menjalankan operasi mencari mangsa.
Jentera pengorek yang membawa bendera Mesir digunakan untuk mengalihkan runtuhan, manakala pasukan penyelamat dan sukarelawan mengeluarkan jasad mangsa.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata pihaknya membekalkan bahan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat atas permintaan pihak berkuasa tempatan.
Susulan begitu ramai rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal serta kekurangan bahan binaan yang kritikal, ramai penduduk Gaza mengambil risiko berpindah ke bangunan yang tidak lagi kukuh.
Penyelaras kemanusiaan PBB bagi wilayah Palestin yang diduduki, Ramiz Alakbarov, berkata beliau amat kecewa dengan berita tragedi itu.
“Tragedi hari ini menyerlahkan risiko besar yang dihadapi keluarga yang tinggal di bangunan seperti ini serta keperluan mendesak untuk mendapatkan tempat perlindungan yang lebih selamat.
“Tiada siapa sepatutnya mempertaruhkan nyawa hanya untuk mencari tempat berlindung yang selamat,” katanya.
Agensi pertahanan awam Gaza mengenal pasti kira-kira 2,000 bangunan di wilayah itu yang dikatakan berisiko runtuh.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






