Home Sukan LESEN MALDINI DIGANTUNG, ALKOHOL MELEBIHI HAD

LESEN MALDINI DIGANTUNG, ALKOHOL MELEBIHI HAD

Milan: Lesen memandu anak Paolo Maldini digantung selepas didapati memandu dengan kadar alkohol hampir dua kali ganda berbanding had yang dibenarkan, menurut beberapa sumber.

Memetik laporan Harian Metro, Daniel Maldini dilaporkan sedang memandu pada jam 5.15 pagi bersama tiga penumpang pada pagi Ahad, sebelum gagal memberikan laluan kepada sebuah VW Golf lalu menyebabkan kemalangan.

Pemain berusia 24 tahun yang memandu Porsche Carrera 4 itu dilaporkan gagal memberi laluan kepada kereta Golf yang dinaiki dua orang sehingga menyebabkan ia merempuh sebuah SUV Mercedes yang diletakkan di tepi jalan.

Di persimpangan yang terletak di utara Milan itu, Straits Times (ST) melaporkan bahawa pihak polis tempatan mendapati kadar alkohol dalam darah Maldini berada pada paras 0.91 gram seliter.

Manakala ujian kedua dilaporkan mencatatkan paras 0.89g/l, berbanding had undang-undang yang ditetapkan iaitu 0.5g/l.

Susulan bacaan yang direkodkan itu, anak lelaki kepada legenda pertahanan Itali dan AC Milan, Paolo itu bakal menghadapi pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Di Itali, kadar alkohol dalam darah antara 0.8 hingga 1.5 mengklasifikasikan kesalahan itu sebagai jenayah yang membawa hukuman denda daripada 800 euro (RM3,720) hingga 3,200 euro(RM14,880), penjara sehingga enam bulan dan atau penggantungan lesen memandu selama enam hingga 12 bulan.

Hukuman juga boleh bertambah berat jika kesalahan berlaku antara jam 10 malam hingga 7 pagi atau jika menyebabkan kemalangan.

Dia juga didakwa sudah menjalani ujian saringan dadah semasa berada dalam tahanan polis.

Laporan Gazzetta menyatakan bahawa pihak polis melakukan ujian saringan pantas dadah di tempat kejadian yang menunjukkan keputusan positif awal.

Sementara itu, sumber polis ST mendedahkan pihak hospital menjalankan ujian dadah lanjutan namun keputusan rasmi mungkin mengambil masa hingga empat hari.

Namun, Maldini memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan keputusan ujian dadah yang negatif bagi pelbagai jenis bahan terlarang.

Danilo Buongiorno, peguam kepada Maldini enggan memberikan sebarang ulasan mengenai laporan berkenaan.

Apa pun, pihak berkuasa memerlukan ujian toksikologi makmal hospital yang sah untuk mengesahkan atau membatalkan keputusan ujian pertama terbabit.

Seorang mangsa dirawat di tempat kejadian di mana tiga buah ambulans dan sebuah kenderaan perubatan dikerah ke lokasi kemalangan manakala yang lain dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kesemua enam individu hanya mengalami kecederaan ringan.

Maldini dibawa ke Hospital Fatebenefratelli di Milan namun dibenarkan keluar lewat pagi terbabit.

Pada pagi Isnin, kelabnya mengeluarkan kenyataan ‘Cagliari Calcio mengumumkan bahawa pemain kami, Daniel Maldini sudah menjalani ujian toksikolog berikutan laporan yang tersebar di media sejak beberapa jam lalu’.

“Kesemua ujian yang dijalankan menunjukkan keputusan negatif. Pemain ini akan melapor diri seperti biasa bersama pasukan petang ini apabila latihan disambung semula menjelang perlawanan seterusnya.”-AGENSI, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here