Milan: Kegembiraan perancang Cagliari, Daniel Maldini menjaringkan gol kemenangan dalam aksi Serie A bertukar duka apabila dia dikejarkan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, hanya beberapa jam selepas perlawanan tamat.
Memetik laporan AFP Menerusi Harian Metro, Bintang berusia 24 tahun yang juga anak kepada legenda bola sepak Itali, Paolo Maldini itu memandu kenderaan mewah jenis Porsche Carrera sebelum terbabit dengan kemalangan di pinggir bandar Milan, awal pagi Ahad.
Insiden berkenaan berlaku beberapa jam selepas Maldini meledak gol menerusi sepakan penalti dramatis untuk menumbangkan bekas kelabnya, Atalanta pada Sabtu.
Agensi berita Itali, ANSA melaporkan pemain berkenaan gagal ujian saringan alkohol secara hembusan dan lesen memandunya ditahan susulan kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.15 pagi itu. Bagaimanapun, laporan tersebut masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak polis Itali.
Seramai enam individu dilaporkan terbabit dalam kemalangan yang merangkumi dua buah kenderaan itu namun kesemuanya hanya mengalami kecederaan ringan.
Tiga buah ambulans dan sebuah kenderaan perubatan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Seorang mangsa dirawat di tempat kejadian manakala lima lagi termasuk Maldini dihantar ke Hospital Fatebenefratelli di Milan untuk pemeriksaan lanjut.
Setakat ini, tiada petunjuk menunjukkan pemain kebangsaan Itali itu mengalami kecederaan serius.
Nahas tersebut nyata mencemar malam gemilang Maldini di padang bersama Cagliari di mana pemain tengah menyerang itu menyempurnakan sepakan penalti penting untuk mengesahkan tiga mata buat pasukannya.
Ia sekali gus meneruskan rentak cemerlangnya musim ini dengan meledak dua gol daripada empat penampilan awal Serie A.
Daniel adalah generasi ketiga daripada dinasti keluarga bola sepak paling tersohor di Itali yang menyaksikan bapanya, Paolo Maldini ialah ikon AC Milan dan Itali yang diiktiraf antara pertahanan terbaik sepanjang zaman.
Manakala datuknya, mendiang Cesare Maldini turut mengukir nama bersama Rossoneri dan skuad kebangsaan sebelum beralih ke kancah pengurusan.
Berbeza dengan bapa dan datuknya, Daniel beraksi di posisi serangan dengan dia yang lahir dari akademi AC Milan pernah mencatatkan 24 penampilan bersama kelab gergasi itu sebelum dipinjamkan ke Spezia, Empoli, Monza, dan Lazio sebelum menyertai Cagliari secara pinjaman dari Atalanta.
Pemain yang mengumpul enam penampilan bersama skuad kebangsaan Itali itu kini memulakan langkah kanan di Sardinia, membantu Cagliari menghuni tangga keempat Serie A sebelum dijadual menentang Udinese, Sabtu ini.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






