Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuh perkhidmatan Doktor Udara (FDS) susulan nahas yang berlaku, termasuk membuat penelitian lebih rapi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pedalaman.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM akan memberikan komitmen untuk terus memperbaiki perkhidmatan FDS berkenaan.
Beliau berkata kejadian itu meningkatkan lagi kepentingan untuk KKM meneliti aspek perkhidmatan berkenaan dengan lebih rapi.
“Kita mesti melalui apa yang dikatakan sebagai meneliti dan menyiasat. Itu adalah pihak berkuasa yang berwajib, yang berkenaan akan melakukan semua itu,” katanya semasa hadir pada solat jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, di Masjid Al-Karamah, Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, penangguhan sementara tujuh kumpulan penerbangan FDS yang lain turut memberi kesan kepada hampir 20,000 penduduk pedalaman.
Sehubungan itu, katanya KKM perlu segera mencari pilihan atau alternatif lain bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk terbabit dapat diteruskan.
Beliau berkata, KKM akan mengambil tanggungjawab berkaitan kebajikan keluarga mangsa seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan media sebelum ini.
“Insya-Allah dari sudut kebajikan, dari sudut keluarga, ayah, keluarga dan juga suami akan kita segera lunaskan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly merakamkan takziah mewakili seluruh warga KKM kepada keluarga petugas kesihatan yang terkorban dalam nahas berkenaan.
Beliau menyifatkan, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah sebagai seorang yang mempunyai jiwa besar dan hebat dalam menunaikan tanggungjawab kepada pesakit.
“Kita sanjung tekad Alahyarham (Dr Ainul Baraah) tetap bertekad melaksanakan tanggungjawab pada saat-saat akhir dengan meletakkan kepentingan pesakit serta keselamatan pasukan sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT merahmati dan mengampuni Allahyarhamah serta menempatkannya dalam kalangan insan yang terpilih.
Selasa lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching semasa menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS).
Kesemua mangsa nahas disahkan meninggal dunia iaitu iaitu Dr Ainul Baraah, juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
IMedikel TV






