Home Buletin Semasa JPJ KELANTAN KELUAR 5,616 NOTIS, SITA 278 KENDERAAN DALAM OPS EKSTREM

JPJ KELANTAN KELUAR 5,616 NOTIS, SITA 278 KENDERAAN DALAM OPS EKSTREM

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 5,616 notis dan menyita 278 kenderaan menerusi 18 Ops Ekstrem yang dilaksanakan di negeri itu sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 3,600 kenderaan, dengan 1,130 daripadanya diambil tindakan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan notis dikeluarkan, 2,300 adalah Notis Saman P22 manakala 3,316 lagi melibatkan pelbagai kesalahan lain.

“Sebanyak 82 kes pengubahsuaian ekstrem dikesan, manakala 2,218 kes lagi melibatkan lain-lain kesalahan.

“Angka ini bukan sekadar statistik kerana di sebalik setiap kesalahan ada risiko yang perlu kita cegah sebelum berlaku tragedi,” katanya pada sidang media Ops Ekstrem JPJ Kelantan, di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam operasi terbaharu di daerah Kota Bharu dari tengah malam hingga 8 pagi 11 September, seramai 18 pegawai dan anggota JPJ terlibat dan sebanyak 131 notis dikeluarkan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 52 Notis Saman P22, 33 kesalahan teknikal PG(1), 32 Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61(1), 12 Notis Sita di bawah Seksyen 64(1) serta dua Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 dikeluarkan.

Beliau berkata, 12 kenderaan yang disita dalam operasi itu terdiri daripada dua motosikal dan 10 motokar, manakala antara kesalahan teknikal motosikal dikesan termasuk melibatkan tayar, nombor pendaftaran, swing arm, sistem brek, ECU, penutup rantai dan penyenyap bunyi.

“Pengubahsuaian terhadap komponen seperti sistem brek, swing arm, ECU, tayar, rim atau ketinggian kenderaan bukan sekadar mengubah rupa, malah boleh menjejaskan kestabilan, pengendalian dan keupayaan membrek.

“JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan profesional, namun matlamat utama bukan untuk mengejar jumlah saman atau sitaan, sebaliknya meningkatkan pematuhan, mencegah kemalangan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Mohd Misuari berkata, pihaknya mahu membentuk komuniti motosikal yang kreatif dan mempunyai identiti, namun pada masa sama berdisiplin, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here