Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan I Medikel TV
Sejak kebelakangan ini, kita disajikan dengan trend lelaki muda berkahwin dengan wanita lebih berusia sehingga tular di media sosial khususnya di TikTok.
Jarak usia bukan penghalang dalam penerimaan jodoh, tetapi ramai yang terkejut apabila ada yang berkahwin dengan wanita yang boleh dianggap sebagai ibu atau nenek.
Jarak usia sehingga lebih 30 tahun menjadi persoalan.
Ramai yang beranggapan ia hanyalah sekadar kandungan TikTok semata, tetapi hakikatnya itu adalah kenyataan.
Adakah ia jodoh atau sekadar ingin mendapat perhatian orang ramai?
Rata-rata mereka tidak segan silu berkongsi kandungan tersebut. Malah ada netizen yang bersetuju dan ada yang memberi kecaman hebat.
Wartawan I Medikel TV sempat bertanyakan pendapat orang ramai, berhubung isu yang sedang tular ini.

Azura Salleh,39, dari Raub, Pahang, ketika ditanya mengenai isu berkenaan menyatakan pendapatnya bahawa lelaki muda memilih berkahwin dengan wanita berusia kerana tidak mahu komitmen untuk anak.
“Kalau nak diikutkan tak logik sebab kita tahu, nafsu lelaki macam mana. Tetapi mungkin juga lelaki memilih perempuan berusia yang stabil dan tidak memikirkan soal anak.
Ini kerana, wanita yang sudah berusia sudah menopause. Mungkin tak ada bebanan daripada segi anak dan memudahkan untuk mereka pergi honeymoon,” katanya.
Hal itu disokong lagi oleh Mazni Mohamad,39, dari Kampung Kadok, di sini.

“Mungkin, lelaki berkenaan dia nak bahagia daripada segi itu. Tiada bebanan dan tanggungan, wanita yang dah stabil dari segi ekonomi lebih-lebih lagi kalau dapat cikgu wanita berpencen, Bahagia hidup. Dapat honeymoon, duit pun ada,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Azura Aziz, 39, berkata, umur bukan penghalang dalam mencipta bahagia dalam rumahtangga.

Dia yang juga seoorang guru di Selangor berkata ramai lelaki lebih muda berkahwin dengan wanita berusia dengan jarak usia 5 atau 6 tahun.
“Terdapat dalam kalangan lelaki yang lebih meminati wanita yang lebih berusia atas beberapa faktor, antaranya wanita berusia lebih matang, berdikari dan bersikap lebih terbuka.
“Bagi saya, kebahagiaan tidak diukur berdasarkan umur, tetapi lebih kepada pegangan agama yang kukuh, kesetiaan dan tanggungjawab itu adalah yang paling penting dalam membentuk keharmonian sesebuah keluarga,” katanya.
Maka benarlah kata pepatah, “Cinta itu memang buta.”
Siapa jodoh kita, muda atau tua, itu sudah tertulis dan ditetapkan Allah.
Imedikel TV






