MEXICO CITY: Setiausaha Pertahanan Mexico Ricardo Trevilla Trejo menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan teknologi dron oleh kartel dadah yang disifatkan sebagai isu membimbangkan di peringkat nasional, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik laporan Anadolu menerusi Harian Metro, kenyataan beliau pada Selasa itu menyusuli laporan bahawa anggota kartel dadah Mexico terlibat sebagai tentera upahan di Ukraine bagi mempelajari taktik peperangan menggunakan dron.
“Ya, perkara ini membimbangkan kami di seluruh negara. Oleh itu, sejak tahun lepas, kami telah membeli banyak sistem anti dron jenis tetap dan mudah alih. Sistem itu juga ditempatkan di sepanjang sempadan dan kami menjalankan operasi dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Pada 4 dan 11 Oktober, tentera Mexico melaporkan rampasan 15 dron gentian optik di Sinaloa, barat laut negara itu, iaitu teknologi yang lazim digunakan dalam perang Rusia-Ukraine.
Sinaloa kini menjadi tumpuan konflik antara kartel dadah susulan perpecahan Kartel Sinaloa kepada dua puak yang bersaing untuk menguasai wilayah berkenaan.
Trejo berkata, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti kumpulan jenayah yang menggunakan teknologi itu, sambil menjelaskan bahawa penggunaannya tidak terhad di wilayah utara Mexico.
Pada Ogos, penduduk Los Bayados di negeri Guerrero terpaksa meninggalkan kediaman mereka susulan serangan dron oleh kumpulan jenayah.
“Kami percaya bahawa… mereka menggunakan dron komersial secara meluas, yang kemudiannya diubah suai untuk menyerang kumpulan pesaing dan, dalam banyak kes, pihak berkuasa juga. Walau bagaimanapun, ini bukanlah dron yang sangat canggih,” kata Trejo. – BERNAMA-ANADOLU, HMetro Online –
IMedikel TV






