Home Buletin Semasa IBU PILU KEHILANGAN ANAK BERUSIA EMPAT TAHUN, ADIK MASIH BERTANYA MANA KAKAK

IBU PILU KEHILANGAN ANAK BERUSIA EMPAT TAHUN, ADIK MASIH BERTANYA MANA KAKAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hati seorang ibu mana yang tidak luluh apabila anak yang dikandung dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang pergi menghadap Ilahi ketika usianya baru mencecah empat tahun.

Bagi Intan Qistina Rozaimy, 30, kehilangan Nur Qaira Zahra Zulkarnain,4, bukan sekadar kehilangan seorang anak, sebaliknya meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin terisi, apatah lagi apabila kenangan bersama si kecil itu masih segar dalam ingatan.

Anak yang sebelum ini ceria, aktif dan petah bercakap itu kini hanya tinggal kenangan, manakala suara yang dahulunya mengisi suasana rumah tidak lagi dapat didengari.

Mengimbau detik terakhir bersama anak kesayangannya itu, Intan berkata, Nur Qaira tetap menghadiri Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Muaz bin Jabal di Taman Guru pada pagi Ahad, meskipun mula mengalami demam sejak Sabtu.

Menurutnya, sebaik pulang dari PASTI, anaknya meminta supaya badan, kaki dan betisnya diurut kerana berasa lenguh.

“Seperti selalu, kakak aktif dan petah bercakap. Dia kata badannya lenguh dan minta saya urut kaki serta betisnya,” katanya menerusi laman sosial Pusat Khidmat DUN Bunut Payong.

Bagaimanapun, keadaan mula membimbangkan pada sebelah malam apabila Nur Qaira Zahra mengalami gejala menggigil, menyebabkan Intan Qistina dan suaminya, Zulkarnain Ismail, 39, segera membawa anak mereka ke hospital.

Menurutnya sepanjang perjalanan, keadaan Nur Qaira Zahra semakin lemah, meninggalkan detik yang sukar dilupakan oleh seorang ibu.

“Dalam kereta, keadaannya lemah, mata dia memandang sayu saya seolah-olah mahu memberitahu bahawa dia akan pergi,” katanya dengan nada sebak.

Menurut Intan Qistina setibanya di hospital, doktor segera melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan Nur Qaira, termasuk memberikan rawatan kecemasan selama kira-kira 45 minit.

Bagaimanapun, katanya segala usaha itu tidak dapat menyelamatkan nyawa anak kecil berkenaan.

Sehingga kini, punca sebenar kematian Nur Qaira masih belum disahkan pihak hospital, Influenza turut disebut, namun punca kematian masih memerlukan pengesahan rasmi pihak perubatan.

Di sebalik kehilangan yang amat menyakitkan itu, Intan Qistina dan suaminya reda menerima ketentuan Allah SWT, selain berharap anak kesayangan mereka ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga.

Lebih meruntun hati, katanya adik Nur Qaira Zahra yang masih mengalami demam dipercayai akibat jangkitan sama turut kerap bertanya mengenai kehilangan kakaknya.

Pertanyaan itu pastinya menjadi satu lagi ujian emosi buat keluarga berkenaan yang masih berusaha menerima hakikat pemergian insan tersayang.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman, menziarahi keluarga berkenaan di Wakaf Che Yeh.

Turut hadir, Penasihat PASTI Kawasan Kota Bharu, Marwan Ismail.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here