New York: Hasrat Aryna Sabalenka untuk melengkapkan hatrik kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) berakhir selepas tewas 4-6, 7-5, 2-6 kepada Elena Rybakina pada final, sebentar tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Pemain Belarus itu mengakui tekanan memburu kejuaraan ketiga berturut-turut di New York menyukarkan dirinya mengawal emosi ketika berdepan Elena.
Berbeza dengan ketenangan Elena sepanjang perlawanan sengit itu, Aryna dua kali gagal menahan perasaan apabila melepaskan bola ke arah penonton sebelum mematahkan raket ketika kejuaraan mula terlepas daripada genggamannya.
“Sangat sukar mengawal emosi apabila tewas di final Grand Slam dan pada masa sama cuba memburu kejuaraan ketiga berturut-turut.
“Saya cuma mahu melepaskan perasaan itu kerana jika dipendam, saya mungkin tidak mampu berkata apa-apa. Saya mungkin akan bertindak dengan cara yang tidak begitu baik,” kata Aryna.
Elena pula kekal tenang ketika menyerap asakan pukulan kencang Aryna sebelum mengambil inisiatif mengawal permainan.
Pemain Kazakhstan itu akhirnya melebarkan jurang pada set penentuan untuk merangkul gelaran Grand Slam ketiganya dan kejuaraan sulung di Flushing Meadows.
“Dia bermain dengan sangat agresif dan menghasilkan tenis yang hebat. Hari ini dia memang pemain yang lebih baik daripada saya,” kata Aryna mengenai Elena.
Elena terlebih dahulu menyingkirkan Aryna dari kedudukan nombor satu dunia sebelum final, sekali gus menamatkan penguasaan pemain Belarus itu selama 99 minggu.
“Kita lihat sama ada Elena boleh mengalahkan saya dalam perkara itu,” kata Aryna sambil ketawa.
“Kalau dia terus bermain seperti itu, ya, saya dalam masalah.”
Aryna turut terlepas peluang menghadiahkan kemenangan kepada penonton yang memberikan sokongan padu kepadanya di Arthur Ashe Stadium.
Dalam tiga final Terbuka AS sebelum ini, Aryna berdepan pemain AS pada setiap kesempatan, namun kali ini buat pertama kali penonton di gelanggang berkenaan benar-benar berpihak kepadanya.
“Saya rasa seperti, ‘Ya Tuhan, saya berasa seperti orang AS di sini’.
“Saya cuma berharap dapat memenanginya dan merasai sokongan itu dengan lebih kuat. Namun, bukan tahun ini,” katanya.
Kekalahan itu turut menamatkan rentetan 20 kemenangan Aryna di Flushing Meadows serta memusnahkan impiannya untuk menyertai Serena Williams dan Chris Evert sebagai satu-satunya pemain wanita era profesional yang memenangi tiga gelaran Terbuka AS berturut-turut.– AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






