Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu semua kerajaan negeri mempercepatkan pewartaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) Pindaan 2021 bagi mewujudkan persekitaran kawal selia pembangunan yang lebih seragam serta mesra pelabur.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata setakat Ogos 2026, hanya Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu telah melengkapkan proses pewartaan berkenaan.
Beliau berkata, usaha mempercepatkan pewartaan UBBL Pindaan 2021 terus diberi perhatian kementeriannya kerana ia penting dalam mewujudkan sistem kawal selia yang lebih efisien dan mampu merangsang pelaburan.
“ Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu terus memainkan peranan sebagai pemudah cara pembangunan bagi memastikan proses kelulusan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
“Dalam hal ini, PBT perlu terus berperanan sebagai pemudah cara pembangunan yang usaha mempercepatkan pewartaan UBBL Pindaan 2021 terus diberi perhatian kerana mewujudkan persekitaran kawal selia yang lebih seragam dan mesra pelabur.
“Setakat Ogos 2026, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu telah melengkapkan proses pewartaan,” katanya dalam ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2026 di Bertam, Kepala Batas, di sini yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mengulas cabaran dihadapi PBT, Kor Ming berkata, kadar urbanisasi negara yang kini mencecah 77.8 peratus atau kira-kira 34.4 juta penduduk menuntut penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, khususnya membabitkan aspek kebersihan, keselamatan, mobiliti, kemudahan awam dan kualiti hidup di bandar.
“Justeru, kita berharap semua PBT berani menilai semula kaedah kerja sedia ada dengan memudahkan proses yang tidak lagi relevan, memperluaskan penggunaan teknologi serta memastikan setiap perbelanjaan awam memberi nilai terbaik kepada rakyat,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, sebanyak 109 PBT di seluruh negara mencatatkan penurunan penarafan dalam Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) 2026, manakala hanya empat PBT merekodkan peningkatan.
Beliau berkata, keputusan itu tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan, sebaliknya menjadi isyarat jelas bahawa masih terdapat ruang besar untuk PBT memperbaiki prestasi dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan.
“Kita tidak mahu sikap masuk bakul angkat sendiri atau syok sendiri kerana itu tidak mencerminkan prestasi yang sebenar.
“Apabila kita perkenalkan rangka reformasi, saya dengan telus berharap kesemua PBT mengadaptasi dan membuat perubahan positif supaya PBT disanjung, dihormat dan disenangi rakyat,” katanya.
Sementara itu, Kor Ming berkata, sebanyak 32 PBT menerima penarafan lima bintang, 60 PBT empat bintang, 44 PBT tiga bintang, 13 PBT dua bintang dan lima PBT satu bintang.
“Penilaian tahun ini telah melalui reformasi dengan memperkenalkan penilaian dalam talian sepenuhnya, peralihan daripada indikator output kepada outcome serta pengintegrasian elemen tadbir urus dan integriti pihak ketiga.
“Ia memperuntukkan lima peratus kepada Public Service Corruption Ranking (PSCR) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lima peratus kepada Sijil Ketua Audit Negara.
“Oleh itu, kecemerlangan PBT tidak boleh hanya diukur berdasarkan kecekapan perkhidmatan, tetapi perlu turut disokong oleh integriti dan pengurusan kewangan yang baik,” katanya.
IMedikel TV






