KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima meluahkan rasa kesal apabila mendapat kritikan hebat ketika menghasilkan karya-karya yang memaparkan individu mempergunakan agama demi kepentingan diri.
Memetik laporan Harian Metro, Erma berkata, dia meminta orang ramai untuk bangkit dan sedar sekali gus membuka mata tentang mesej yang ingin disampaikan dalam karya-karya yang dihasilkannya berkenaan.
“Bila aku buat cerita ini untuk awareness (kesedaran), korang meroyan. See (tengoklah).. tolonglah bangkit. Selamatkan agama kita daripada ditunggang sewenangnya,” komen Erma di hantaran Caprice.
Dalam pada itu, komen Erma itu turut mendapat perhatian pelakon, Yana Samsudin yang meminta pengarah terbabit meneruskan usaha menyebarkan mesej kesedaran dalam karya-karyanya.
“Buat lagi Mama (Erma). Tambah lagi awareness (kesedaran). Sedih hati dan geramnya. Apa bendalah tak cukup bukti, tak cukup saksi. Kurang ajar betul. Semoga ibu ini dan anaknya tabah. Mesti trauma,” luah Yana penuh emosi.
Erma sebelum ini pernah menerbitkan drama Bidaah, Keluarga Itu selain Walid yang berkisar mengenai individu yang menyalahgunakan agama bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.
Sementara itu, dalam ruangan komen berkenaan, rata-rata netizen turut bersetuju dengan tindakan Erma untuk menerbitkan lagi karya-karya yang boleh memberi kesedaran kepada orang ramai.
Terdahulu, penyanyi rap Caprice memuat naik sebuah hantaran video di Instagram yang memaparkan seorang ibu mendedahkan anaknya menjadi mangsa amang seksual fizikal di sebuah pusat tahfiz di Selangor sekali gus turut meminta pihak lain yang menjadi mangsa untuk tampil ke hadapan. – HMetro Online –
IMedikel TV






