Home Hiburan HULUR MIKROFON BUKTI KEMESRAAN ARTIS DAN PEMINAT – SHIHA ZIKIR

HULUR MIKROFON BUKTI KEMESRAAN ARTIS DAN PEMINAT – SHIHA ZIKIR

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shiha Zikir tidak mahu netizen terus memberi tanggapan serong dan mengecam penyanyi yang bertindak menghulurkan mikrofon ketika mengadakan persembahan pentas.

Memetik laporan Harian Metro, Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 39, berkata dia sebaliknya mahu semua pihak bersikap positif dengan melihat ia sebagai satu bentuk kemesraan artis dengan peminat.

“Ia bukanlah satu kesalahan pun selagi penyanyi terbabit tidak menyerahkan keseluruhan persembahan kepada penonton, malah penonton pun suka benda ini.

“Saya melihat isu ini dan setiap orang ada pendapat masing-masing. Letakkan diri sebagai penonton, pasti akan suka apabila penyanyi ajak menyanyi bersama.

“Sebenarnya, bukan semua artis boleh dan berani melakukan perkara itu sebab tidak semua penyanyi mempunyai kemahiran untuk menyanyi sambil berinteraksi dengan penonton,” katanya ketika ditemui pada sidang media NSO With Aubrey Suwito di Istana Budaya, semalam.

Menurutnya, setiap penyanyi mempunyai cara tersendiri menghiburkan peminat dan tindakan mengajak penonton menyanyi bersama adalah satu penghargaan kepada peminat mereka.

“Apabila penonton menyanyi bersama, mungkin mereka adalah antara individu yang banyak menyokong penyanyi itu. Jadi, penyanyi sudah pasti mahu menghargai mereka.

“Bukannya sampai satu lagu penuh dia tidak menyanyi. Kalau satu lagu penuh tidak menyanyi dan semuanya diserahkan kepada penonton, saya faham kalau ada yang mempersoalkannya.

“Namun, kalau sekadar satu ayat untuk menghiburkan penonton dan mewujudkan momen ‘sing along’, bagi saya tiada masalah,” katanya.

Shiha berkata, perkara itu bagaimanapun tidak sesuai dipraktikkan sekiranya artis terbabit sedang menyertai pertandingan nyanyian.

“Dalam pertandingan, itu memang tidak boleh. Tiba-tiba sedang bertanding dan mahu serahkan mikrofon kepada orang lain, itu sudah salah kerana nama pun pertandingan dan kita perlu membuat persembahan.

“Bila kita sudah masuk dalam dunia seni dan media sosial, kita kena terima apa yang diperkatakan oleh setiap orang. Tetapi, itu tetap pandangan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, isu ini menjadi bualan hangat apabila seorang pengguna Threads mempersoalkan tindakan artis yang sering menghulurkan mikrofon kepada penonton ketika membuat persembahan.

Penonton yang sudah membayar untuk menonton konsert sudah tentu mahu mendengar suara penyanyi, bukannya suara sumbang penonton.

Dalam perkembangan berkaitan, Shiha akan mengadakan persembahan menerusi National Symphony Orchestra (NSO) with Aubrey Suwito “Pop Meets Symphony” di Panggung Sari Istana Budaya pada 2 dan 3 Oktober ini.

Turut sama terbabit ialah pasangan artis Ernie Zakri dan Syamel.

Mereka akan menyampaikan 16 buah lagu ciptaan Aubrey melalui tiga segmen iaitu Inspirasi, Ekspresi dan Apresiasi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here