KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi, 35, mengambil positif terhadap kritikan pendengar untuk versi baharu lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 nyanyiannya bersama Marsha Milan, Nadeera Zaini dan Aisha Retno yang hangat diperkatakan di media sosial.
Memetik laporan Harian Metro, Adira memaklumkan dia juga tidak berkecil hati dengan komen-komen berbaur perbandingan yang mengaitkan nyanyian asal lagu itu oleh Datuk Nora Ariffin, Datuk Ziana Zain, Ning Baizura dan Dessy Fitri dari Indonesia pada era 1990-an.
“Itulah, saya sebenarnya ambil tahu juga. Macam inilah, akan ada orang tidak suka dan akan ada orang yang suka. Tapi, kita fokus kepada benda-benda yang bagus sahaja.
“Sebab, mungkin ada untuk yang meluas itu orang tidak nampak. Bagaimanapun, yang ‘group’ (penyanyi) sebelum ini (era 1990-an) mungkin mereka sudah ada ‘standard level’ tersendiri.
“Malah, itu adalah identiti mereka. Cuma macam kita pula (generasi penyanyi sekarang) kita membawakan yang itulah dipanggil 2.0. Kita buat ikut cara masing-masing, macam saya dengan cara saya, Marsha, Nadeera dan Aisha ada cara mereka
“Apapun, kita sudah buat yang terbaik. Itulah sudah tentu kita mengharapkan lagu itu (Cinta Di Akhir Garisan 2.0) dapat tempat di hati peminat pun sudah cukup okay. Bukan kita nak menandingi pun,” katanya kepada Harian Metro.
Adra berkata, dia bersama tiga rakan penyanyi terbabit tidak ada sebarang niat dan hasrat untuk cuba menandingi nyanyian kumpulan penyanyi terdahulu lagu berkenaan.
“Saya tetap ambil tahu sahaja (komen-komen di media sosial) untuk orang kata yang kita memang kena tahu mengenainya, sebab tidak boleh juga tak tahu langsung. Tetapi,, kita semua tidak ambil hati pun (terhadap kritikan).
“Kami berempat pun sudah berbincang sebab benda ini normal, perkara biasa. Ada orang suka dan ada orang tidak suka. Apa yang penting, kami sudah membuat yang terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, difahamkan ada segelintir pencinta muzik tempatan menyuarakan pandangan kurang menyukai rakaman baharu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 kerana lebih menggemari versi asal lagu yang berusia tiga dekad itu.
Komposer terkenal, Ajai yang terbabit dengan projek rakaman baharu itu sebelum ini pernah meluahkan dia sudah bersedia sekiranya wujud perbandingan daripada pendengar terhadap kedua-dua versi lagu.
Bagi Ajai, sebagai penggiat muzik berpengalaman sememangnya dia sedar akan muncul perbandingan untuk karya lagu ikonik lazimnya daripada aspek penilaian peminat dan pendengar selepas diberi nafas baru. – HMetro Online –
IMedikel TV






