Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Saya hanya fikir untuk membantu melancarkan perjalanan ambulans yang membawa pesakit, tidak pernah terbayang untuk menerima sebarang penghargaan,” kata Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, 23.
Dia muncul wira di jalan raya selepas membantu mengawal lalu lintas hingga membolehkan sebuah ambulans yang membawa pesakit melepasi kesesakan lalu lintas.
Kisah keberanian remaja berkenaan tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi video yang tular itu, dia kelihatan memberhentikan motosikal ditunggangnya di tengah jalan raya yang sesak sebelum mengawal lalu lintas di Jalan Gambang-Kuantan ketika dia dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menghadiri latihan pengendalian dron di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, di sini.
Tuan Nurhan Syafiy berkata, selepas videonya tular di beberapa saluran media sosial, banyak ucapan tahniah diterima terutama daripada rakan yang ketika itu sama menuntut di UCYP University.
“Ini kali kedua saya membantu melancarkan perjalanan ambulans, kali pertama dua tahun lalu di lampu isyarat di Sungai Isap, di sini.
“Saya guna motosikal saya untuk menutup laluan. Saya sekadar membantu setakat yang termampu tapi ramai mendoakan dan beri kata positif, jadi ia membuatkan saya berasa sangat bersyukur.
“Yang terbaharu saya bertindak membuka laluan menggunakan motosikal sejauh lebih 15 kilometer bagi memberi laluan kepada ambulans untuk bergerak lebih lancar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan,” katanya, di sini semalam.
Tuan Nurhan Syafiy kini merupakan bekas penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Visual berkata, dia menerima sijil penghargaan daripada UCYP University.
Menurutnya, semangat membantu menebal yang ada dalam dirinya mungkin turun daripada bapanya, Tuan Nor Azaham Shah Tuan Yusof yang bertugas sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Tambahnya, walaupun kejadian itu sudah beberapa bulan berlaku, namun ia amat bererti buat dirinya kerana dia tidak pernah terlintas untuk mendapat penghargaan dan pujian daripada mana-mana pihak.
“Saya bangga menerima sijil penghargaan daripada UCYP University, pengiktirafan yang diberikan dapat membakar semangat saya untuk terus membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan, kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
“Saya juga menerima penghargaan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Indera Mahkota 15. Turut menceriakan lagi apabila beberapa rakan belanja saya makan sebagai penghargaan,” katanya yang bercita-cita untuk berkhidmat dengan agensi keselamatan negara.
IMedikel TV






