Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI : Jasad remaja ketiga dalam tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini pada Rabu lalu ditemui di Tanjung Siang, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
Jasad disahkan Muhammad Adib Hafiy Kamal,16, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat dan orang awam jam 11.15 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad berkata mangsa dibawa naik ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 11.45 pagi bagi proses pengecaman oleh waris.

“Selepas disahkan waris, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya.
Pada Rabu enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan lemas selepas mandi di Pantai Tanjung Lompat, di sini, bagaimanapun dua daripada empat remaja berjaya diselamatkan orang awam.
Jasad Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemui jam 1.15 petang pada Rabu, manakala jasad milik Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor ditemui pada jam 1.53 petang kelmarin.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat akan tertumpu kepada mengesan seorang lagi mangsa, Muhammad Haiman Fitri Supian.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru itu dimulakan semula pada jam 7 pagi dengan keluasan sektor pencarian diperluaskan kepada kira-kira 103 batu nautika persegi berdasarkan perkembangan dan penilaian semasa operasi.
Katanya operasi pencarian membabitkan kekuatan seramai 61 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Keadaan cuaca di kawasan operasi dilaporkan dengan angin dari arah selatan barat daya (SBD) pada kelajuan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara 1.0 hingga 1.5 meter,”katanya.
IMedikel TV






