Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Lima unit premis perniagaan musnah dijilat api dalam kebakaran berhampiran kawasan Jeti Chew, George Town, awal pagi tadi.
Kebakaran membabitkan sebuah kedai cat kereta, bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 1.08 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 1.11 pagi, dengan jarak perjalanan kira-kira satu kilometer (km).
“Apabila tiba didapati kebakaran membabitkan anggaran 70 peratus dan tidak melibatkan sebarang mangsa.
“Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api kemudian dilaksanakan dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Jelasnya, operasi membabitkan 15 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai serta BBP Jalan Perak sebagai bantuan.
“Laporan berhubung insiden akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Difahamkan dalam insiden itu, pemilik perniagaan mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM1 juta.
Untuk rekod, Jeti Chew adalah antara mercu tanda tepi laut yang paling dikenali di George Town dan diasaskan oleh imigran Cina dari wilayah Fujian yang berkongsi nama keluarga Chew.
Ia menjadi lokasi tumpuan pengunjung dengan laluan pejalan kaki kayu yang unik serta rumah tradisional yang dibina di atas tiang, selain menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat Cina sejak abad ke-19.
Terletak di sepanjang kawasan perairan bersejarah George Town, Jeti Chew adalah jeti masyarakat Cina terbesar dan antara yang tertua di Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang membuat lawatan ke kawasan berkenaan berkata, kawasan tapak kebakaran terletak 20 meter dari Jeti Chew yang ia tidak menyebabkan kawasan ikonik itu terjejas.

“Kejadian membabitkan tanah kerajaan. Jadi, saya percaya pemilik premis ini adalah sama ada penyewa ataupun pemegang TOL (Lesen Pendudukan Sementara).
“Saya rasa mereka mungkin berminat mahu membina semula apa yang terbakar dan pihak kerajaan negeri akan membantu dalam proses ini,” katanya.
Menurutnya, pihak kontraktor terlibat sudah masuk ke kawasan berkenaan untuk kerja-kerja pengalihan struktur bangunan termasuk kayu bagi memudahkan urusan bomba melakukan siasatan.
IMedikel TV






