JOHOR BAHRU: Walaupun tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), DPMM FC enggan menjadikan kekangan latihan yang begitu terbatas akibat jerebu yang melanda Bandar Seri Begawan di Brunei sebagai alasan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, ketua penolong jurulatih, Helme Panjang berkata, mereka terpaksa berlatih di dalam dewan akibat jerebu namun masih mampu memberi tentangan apabila berdepan skuad kendalian Xisco Munoz malah menunjukkan disiplin permainan yang tinggi ketika bertahan namun kesilapan kecil membuka ruang kepada pemain JDT mencipta gol pembukaan.
Bagaimanapun, dia mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya daripada segi penguasaan bola serta disiplin ketika bertahan mahupun menyerang.
“Akibat jerebu, kami tidak dapat berlatih di padang dan terpaksa mengadakan latihan di dalam dewan malah tempoh tidak mencukupi dan singkat untuk berdepan JDT tapi kami reda dengan keputusan yang dialami pada perlawanan itu.
“Kita bermula dengan baik menyekat JDT daripada menjaringkan gol, kita juga berupaya mengehadkan jumlah jaringan dihasilkan oleh juara bertahan, sekali gus memperlihatkan peningkatan berbanding musim terdahulu.
“Diharapkan pada masa akan datang, pemain akan lebih fokus dan berhati-hati apabila bertemu pasukan kuat untuk mencipta peluang serta menjaringkan gol,” katanya.
Helme menambah, faktor menukar venue perlawanan saat akhir juga memberi kesan dan jika tidak berlaku jerebu, sebaliknya kekal beraksi di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, kemungkinan barisan pemain akan beraksi dengan lebih baik di depan ribuan penyokong sendiri.
Mengulas mengenai kelibat barisan pemain import, dia meluahkan rasa puas hati terhadap kombinasi pemain yang sedia ada selain tonggak dari Malaysia yang dilihat semakin serasi selepas mengharungi tiga perlawanan liga walaupun masih belum melakar kemenangan pertama dalam aksi liga. – BH Online –
IMedikel TV






