Home Luar Negara BANJIR NEPAL: 10 HARI TERPERANGKAP, DUA PEKERJA TEROWONG DISELAMATKAN

BANJIR NEPAL: 10 HARI TERPERANGKAP, DUA PEKERJA TEROWONG DISELAMATKAN

KATHMANDU: Dua pekerja projek hidroelektrik berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup pada Jumaat selepas terperangkap dalam terowong yang tertimbus akibat runtuhan di Nepal, sekali gus menjadi sinar harapan selepas 10 hari usaha menyelamat susulan banjir besar di Himalaya.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pasukan penyelamat bersorak ketika seorang lelaki dikeluarkan melalui bukaan yang dipenuhi lumpur, menurut video yang dikeluarkan Kementerian Tenaga.

Dia dibantu berdiri oleh anggota penyelamat sebelum dibawa di belakang petugas kecemasan sambil mengangkat tangannya ketika mereka bergegas membawanya ke sebuah helikopter.

Sekeping gambar pula menunjukkan seorang lagi mangsa dipenuhi lumpur dengan kedua-dua tangannya dirapatkan seperti sedang berdoa ketika dibawa pasukan penyelamat menggunakan pengusung.

“Selagi masih ada nafas, masih ada harapan!” kata Menteri Tenaga, Biraj Bhakta Shrestha, dalam satu kenyataan. 

“Operasi menyelamat diteruskan di semua terowong yang terjejas. Marilah semua usaha dan doa diteruskan. Kami tidak kehilangan harapan.”

Pasukan penyelamat menyifatkan kejayaan itu sebagai “keajaiban” selepas runtuhan glasier dan gunung pada 26 Ogos di sempadan China-Nepal mengorbankan sekurang-kurangnya 1,325 orang dan menyebabkan lebih 5,500 lagi masih hilang.

“Saya sangat gembira, hati saya terasa lebih lega,” kata Amir Maharjan, abang kepada pekerja yang diselamatkan, Kabir Maharjan, 45, kepada AFP.

Pekerja yang diselamatkan, Sanjay Sah, 30, dalam satu siaran video media Nepal sejurus selepas diselamatkan berkata, dia bertahan dengan berdoa sepanjang hari berada dalam kegelapan.

“Hari ini hari apa? Saya membaca doa di dalam terowong,” katanya, sambil menambah bahawa dia percaya masih ada pekerja lain di dalam terowong berkenaan.

“Ada seramai 40 atau 45 orang… Saya memberitahu mereka dan semua orang supaya keluar,” katanya mengenai ketika bencana itu berlaku.

Kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di sebuah hospital di Kathmandu.

“Dia boleh bercakap, dia okay,” kata isteri Maharjan, Hira Shobha Maharjan, sambil memaklumkan suaminya mengalami kecederaan pada kaki dan kesejukan menyebabkan tangannya sukar digerakkan.

“Dia mempunyai kekuatan untuk bercakap dan mengenali saya. Pada mulanya dia tidak mengenali saya, tetapi sekarang dia sudah kenal.”

Adik ipar Maharjan, Lakshmi Naini, menunggu di luar sebuah hospital di Kathmandu selepas lelaki itu dibawa dengan helikopter.

“Ini satu keajaiban. Saya sangat gembira,” katanya kepada AFP. “Saya mendapat tahu dia masih hidup melalui media sosial dan saya tidak dapat mempercayainya.”

“Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan perasaan saya,” kata seorang lagi saudara, Shyam Maharjan, 45.

Kedua-dua mangsa adalah antara ratusan pekerja projek hidroelektrik yang dilaporkan hilang sejak dinding lumpur dan serpihan runtuhan melanda kawasan berkenaan susulan runtuhan besar glasier dan batuan di sebuah gunung di sempadan China-Nepal.

Operasi mencari diteruskan di terowong projek Trishuli 3A, lokasi kedua-dua lelaki itu diselamatkan, selain beberapa lokasi lain, selepas sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik musnah akibat banjir.

Lebih ramai anggota tentera dikerahkan pada Jumaat bagi memperkuat operasi pencarian dan berjaya mengeluarkan tiga mayat.

Kerajaan pada mulanya berkata pihaknya percaya lebih 100 pekerja mungkin masih hidup di dalam beberapa terowong.

Pasukan penyelamat Nepal yang dibantu pakar dari India, China dan Korea Selatan berulang kali berdepan timbunan serpihan yang padat dan keras ketika mencari mangsa yang terselamat.

Sehingga Jumaat, tiada seorang pun pekerja terowong disahkan masih hidup.

Pakar penyelamat Australia, Arnold Dix, yang menjadi penasihat operasi itu, berkata kepada AFP bahawa usaha menyelamat kini “kembali ke negara keajaiban” selepas melalui “seminggu penderitaan 24/7”.

Pada awal Jumaat, Dix berkata pasukan di projek hidroelektrik Trishuli 3A terdengar respons perlahan dari dalam terowong.

“Mereka percaya terdengar respons perlahan dari dalam yang berkata, ‘hunchha’, bermaksud ya atau okay,” kata Dix, yang juga presiden Persatuan Pengorekan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa, kepada AFP.

Beliau berkata pasukan penyelamat kemudian melaungkan ke dalam terowong: “Jangan risau, kami sedang menyelamatkan kamu.”

Dix berkata pasukan berkenaan sudah mengorek serpihan yang menghalang terowong sepanjang 50 hingga 60 meter dan berharap dapat menembusi halangan itu pada bila-bila masa.

Kurang sejam kemudian, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan kedua-dua lelaki itu ke tempat selamat.

Sebahagian keluarga Nepal yang mencari anggota keluarga mereka yang hilang mula mengadakan upacara pengebumian simbolik sejak beberapa hari lalu, menunjukkan harapan untuk menemui mangsa yang terselamat semakin tipis.

Menteri Luar, Shisir Khanal, menyifatkan gelombang besar yang tercetus akibat runtuhan batu dan ais itu sebagai ‘tsunami Himalaya’.

Banjir melanda daerah pergunungan pada hari berkenaan, memusnahkan jalan raya, jambatan dan beberapa empangan hidroelektrik.

Komuniti berhampiran pusat kejadian masih terputus hubungan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa “skala kemusnahan” menyukarkan usaha menyalurkan bantuan, dengan penggunaan dron kargo dan khidmat pengangkut sedang dipertimbangkan untuk sampai ke kawasan terpencil.

“Banyak keluarga kehilangan segala-galanya,” kata Ketua PBB di Nepal, Lila Pieters Yahia, pada Jumaat ketika melancarkan rayuan dana AS$50 juta (RM211 juta) bagi membantu lebih 84,000 orang.

Pihak berkuasa bencana Nepal berkata jumlah mayat yang ditemui setakat Jumaat malam ialah 1,294, manakala 5,053 orang masih hilang.

Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang terbunuh dan 531 masih hilang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 1,325 orang, manakala 5,584 masih hilang. Lebih 800 warga asing dari sekurang-kurangnya 34 negara termasuk dalam senarai mangsa yang hilang. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here