Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali bernilai RM80.01 juta yang siap sepenuhnya bakal mula beroperasi November ini, sekali gus memperkukuh keupayaan keselamatan dan penguatkuasaan perairan Pantai Timur.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, markas baharu itu penting bagi meningkatkan keupayaan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam mengawal keselamatan perairan Pantai Timur yang berdepan pelbagai bentuk ancaman.
“Antara ancaman dikenal pasti termasuk penyeludupan dadah, senjata api, pendaratan pendatang asing dan pelarian serta pencerobohan nelayan.
“Apabila perairan ini terjamin, masyarakat setempat yang terlibat dengan aktiviti perikanan dan ekonomi maritim akan rasa keselamatan mereka lebih terjaga.
“Perairan lebih selamat, aktiviti harian rakyat terjamin dan usaha mereka mencari rezeki lebih terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek berkenaan di Tok Bali di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PPM Wilayah Tiga, Tok Bali mempunyai kekuatan 111 pegawai dan anggota apabila mula beroperasi November ini.
“Markas berkenaan turut memberi manfaat langsung kepada masyarakat Tok Bali dan kawasan sekitarnya, khususnya komuniti yang bergantung kepada aktiviti perikanan serta ekonomi maritim.
Menurutnya, kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan operasi termasuk bangunan pentadbiran, rumah bot, bengkel mekanikal, jeti, stor peluru, bengkel serta kemudahan sokongan operasi lain.
Katanya, aspek kebajikan anggota turut diberi perhatian apabila kompleks itu menyediakan 82 unit kuarters bagi menempatkan pegawai dan anggota PPM selain kemudahan taska dan tadika, surau berkapasiti 200 jemaah, dewan serbaguna, mes pegawai, kafeteria dan ruang pejabat PERKEP.
“Ini penting supaya anggota kita apabila bertugas menjaga perairan, kebajikan mereka dan keluarga berada dalam keadaan selamat,” katanya.
IMedikel TV






