Home Buletin Semasa MAYAT KEDUA REMAJA LEMAS DI TANJUNG LOMPAT DITEMUI

MAYAT KEDUA REMAJA LEMAS DI TANJUNG LOMPAT DITEMUI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Mayat kedua daripada empat remaja yang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini, ditemukan terapung kira-kira 800 meter dari lokasi penemuan mayat pertama, hari ini.

Mangsa yang dipercayai Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 1.53 tengah hari.

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung sebelum berjaya dibawa ke pesisir pantai kira-kira jam 2.50 petang.

Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang berada di lokasi kejadian.

“Pengecaman oleh keluarga turut dilakukan dan mengesahkan mangsa adalah individu yang dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa dijumpai terapung berhampiran kawasan penemuan mayat semalam,” katanya pada sidang media di Pesisir Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang diteruskan dengan radius pencarian antara satu hingga dua batu nautika dari pantai berkenaan.


Bagaimanapun, katanya, kawasan pencarian esok bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.

“Cabaran pada petang ini ialah ombak setinggi antara satu hingga 1.5 meter, manakala angin bertiup agak kuat pada kelajuan antara 12 hingga 20 kilometer sejam.

“Namun, usaha pencarian terus dipergiatkan,” katanya.

Semalam, mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, ditemukan pada jam 1.25 petang dan disahkan sebagai antara empat remaja yang dilaporkan hilang.

Sehingga kini, dua lagi mangsa, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, masih belum ditemukan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here