Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 123 warga asing dalam operasi penguatkuasaan selama 48 jam di beberapa lokasi sekitar negeri itu pada Selasa dan Rabu lalu.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan menyasarkan pelbagai premis yang dikenal pasti berpotensi berlaku pelanggaran undang-undang imigresen.
Menurutnya, antara premis yang diperiksa termasuk kedai makan dim sum, pusat servis dan baik pulih kenderaan, pusat dobi, kedai aksesori kenderaan serta pusat refleksologi.
“Operasi ini membuktikan bahawa tiada sektor yang terkecuali daripada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.
“Premis yang menjadi sasaran diperiksa secara menyeluruh bagi memastikan setiap individu yang berada dan bekerja di premis berkenaan mempunyai dokumen perjalanan serta pas imigresen yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, 123 warga asing yang ditahan terdiri daripada 47 lelaki dewasa dan 27 wanita dewasa warga Myanmar, 10 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia, tujuh wanita warga China, lima lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki warga Nepal, seorang lelaki warga China serta seorang wanita warga Vietnam.
“Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun dipercayai bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan, selain terdapat yang ditahan sebagai pelanggan di premis berkenaan.
“Turut ditahan enam warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus premis.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurut Mohd Rusdi, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, sebanyak 13 Borang 29, iaitu saman kepada saksi, turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
Beliau menegaskan JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan operasi penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Tindakan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
IMedikel TV






