Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 30 peserta berpeluang menguji kemahiran melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau CPR menerusi pertandingan sempena Mega Health Fiesta 2026 di East Coast Mall (ECM), di sini.
Program yang berlangsung selama dua hari sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-69 itu menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan, kekeluargaan dan pendidikan.
Pegawai Perhubungan Media, SASMEC @IIUM, Muhamad Faiz Fahmi Musa berkata, pertandingan CPR yang julung kali dianjurkan secara terbuka itu memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik bantuan kecemasan yang betul menerusi ujian praktikal.

“Seramai 15 pelajar sekolah menengah dan 15 peserta awam mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan dengan menggunakan replika manusia serta dipantau tenaga mahir.
“Pertandingan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik CPR yang betul supaya mereka mempunyai pengetahuan asas untuk bertindak ketika berdepan situasi kecemasan.
“Rata-rata peserta yang ditemui memaklumkan mereka pertama kali berpeluang mempelajari teknik CPR secara praktikal dan menganggap pendedahan ini cukup bermakna untuk digunakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain pertandingan CPR, katanya, program turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian beragam, bercerita dan persembahan badut yang disediakan khusus untuk kanak-kanak.
“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan saringan kesihatan selain menyaksikan ceramah oleh pakar perubatan serta mengunjungi pameran yang disediakan sepanjang program.
“Turut diadakan sesi temu duga terbuka bagi jawatan jururawat, penolong pegawai farmasi, penolong pegawai perubatan dan juruteknik makmal perubatan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya dalam bidang kesihatan,” katanya.
Muhamad Faiz berkata, pihaknya bercadang menjadikan Mega Health Fiesta sebagai acara tahunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan bagi memberi pendedahan berterusan kepada masyarakat mengenai aspek kesihatan, kemahiran CPR dan peluang kerjaya dalam sektor kesihatan.
IMedikel TV






