Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu atau Racun yang mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Menurutnya, penerapan unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya ketimuran perlu dibendung bagi memastikan pegangan akidah serta nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.
“Prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama.
“Pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama berkenaan dan mengambil tindakan susulan berdasarkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kandungan media yang disiarkan mematuhi peraturan serta memelihara kesucian agama.
Dalam pada itu, JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejaskan keharmonian norma masyarakat.
“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya.
IMedikel TV






