KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya atau PU Syed tampil menyelar keberanian segelintir pengarah dan pelakon tempatan yang didakwa menghasilkan naskhah berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi sebuah drama yang tular baru-baru ini.
Memetik laporan harian Metro, melalui satu hantaran di Instagram, PU Syed meluahkan rasa kesal selepas melihat satu keratan video tular di Facebook yang memaparkan babak dua pelakon wanita melakonkan watak songsang berkenaan.
“Saya nak nyatakan bagaimana beraninya pelakon dan pengarah dalam negara Malaysia kita ini membuat naskhah berunsur LGBT. Kepada pihak berkuasa ke manakah kalian dalam membendung perkara-perkara ini dan membenarkan cerita seperti ini dipertontonkan kepada masyarakat?
“Saya harap kepada pihak berkuasa, jangan duduk diam dan jangan tidur. Cuba periksa betul-betul agensi mana yang bertanggungjawab mengekang perkara ini,” katanya dalam sebuah video.
Syed turut membidas alasan tipikal penggiat seni yang sering mendakwa babak sedemikian diselitkan kononnya untuk memberi pengajaran kepada orang Islam di hujung cerita agar menjauhi perbuatan terbabit.
“Dengan alasannya di hujungnya ada pengajaran untuk diberikan kepada orang Islam agar tidak melakukan perkara sekian sekian sekian dan sebagainya. Tapi jalan cerita yang dipertontonkan kepada masyarakat ini sebenarnya yang perlu kita sekat sebenarnya.
“Jadi jangan kita fikir keuntungan semata-mata, popular semata-mata, tapi kita kena fikir apakah natijah daripada cerita yang kita pertontonkan ini kepada penonton-penonton dan masyarakat-masyarakat dan mungkin kanak-kanak yang menonton,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Syed turut menggesa pihak berkuasa untuk memandang serius isu berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengarah serta pelakon yang menjayakan watak-watak negatif seperti itu.
“Kalau agensi terbabit tidak kompeten, tukar orang lain. Kalau mereka bermain-main dengan hukum, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam setiap negeri perlu ada satu unit khas untuk memantau cerita-cerita yang merosakkan masyarakat ini.
“Saya harap sangat pihak berkuasa akan pandang perkara ini dengan serius sekali dan ambil tindakan kepada sutradara dan pelakonnya yang melakonkan watak-watak yang kotor seperti ini,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah drama yang didakwa memaparkan babak suka sesama jantina yang menyebabkan segelintir netizen platform Threads mengkritik dan mahu memboikot drama berkenaan. – HMetro Online –
IMedikel TV






