Home Sukan DOLLAH KECEWA KL CITY GAGAL MANFAAT KELEBIHAN PEMAIN

DOLLAH KECEWA KL CITY GAGAL MANFAAT KELEBIHAN PEMAIN

KUALA LUMPUR: Pengendali KL City FC, Datuk Dollah Salleh mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya yang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi lebih seorang pemain ketika menentang Perak FA sekalipun berjaya meraih kemenangan tipis 0-1 pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA.

Memetik laporan harian Metro, pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu menyaksikan KL City FC yang menentang pasukan Liga A1 Semi-Pro itu terpaksa mengharapkan sepakan penalti disempurnakan Paulo Josue pada minit ke-85 untuk bekalan satu gol ke aksi di tempat sendiri.

Mengulas mengenai persembahan jentera serangannya, Dollah menegaskan kelebihan jumlah pemain di atas padang sepatutnya membantu mereka meraih kemenangan lebih selesa tetapi ia tidak diterjemahkan menerusi keputusan perlawanan itu.

“Memang saya pun kecewa juga dengan persembahan pemain pada hari ini (kelmarin). Tetapi itulah, apabila kita beraksi dengan kelebihan pemain, baru kita mahu hentak permainan itu.

“Tetapi kita masih lagi kurang menyengat di bahagian serangan, jadi ada sedikit kelemahan di bahagian itu yang perlu kita hadapi.

“Saya percaya kita akan buat beberapa perubahan, mungkin dari segi taktikal pada perlawanan yang akan datang nanti kerana kita tahu kita perlu tingkatkan prestasi,” kata Dollah.

Dalam masa sama, legenda bola sepak negara itu turut memberi kredit kepada Perak FA yang disifatkan berjaya memberi tentangan sengit dan beraksi dengan penuh disiplin sepanjang 90 minit.

Tegasnya, hanya pengalaman menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan yang menyaksikan KL City FC membawa sedikit kelebihan menuju ke aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 9 September ini.

“Apa yang saya lihat hari ini, Perak FA bermain dengan begitu baik walaupun mereka bermain dengan 10 orang. Mereka nampak lebih tersusun berbanding KL City FC.

“Mungkin dari segi pengalaman sahaja yang membolehkan kita mengatasi mereka,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here