Home Buletin Semasa DUA MAUT, TUJUH CEDERA BOT BERTEMBUNG DI KUALA SUNGAI MERSING

DUA MAUT, TUJUH CEDERA BOT BERTEMBUNG DI KUALA SUNGAI MERSING

Oleh: Wartawan IMedikel TV

MERSING: Dua maut manakala tujuh lagi cedera selepas dua bot bertembung di Kuala Sungai Mersing, di sini malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.15 malam.

Menurutnya, dua mangsa yang maut ialah pengendali bot Sea Queen berusia 38 tahun dan seorang penumpang lelaki berbangsa Cina berusia 32 tahun.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing, membabitkan bot Sea Queen yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Besar dan bot Rawa Birds yang baru berlepas dari jeti menuju ke Pulau Rawa.

“Bot Sea Queen membawa enam individu manakala bot Rawa Birds dinaiki tiga individu.

“Rempuhan kuat di kuala sungai itu menyebabkan dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya selepas meninjau keadaan kedua-dua bot yang terbabit di Kampung Pangkalan Batu, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di beberapa hospital.

“Seramai tiga mangsa dirawat di Hospital Mersing, tiga dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang.

“Kebanyakan penumpang bot Sea Queen mengalami kecederaan yang agak parah berbanding penumpang bot Rawa Birds,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian serta Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara berbahaya.
Kes turut disiasat mengikut laporan mati mengejut (SDR).

Ab Rahaman berkata, polis akan mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat serta beberapa pihak lain termasuk pasukan penyelamat dan individu yang tiba terlebih dahulu di lokasi kejadian.

Katanya, polis turut mendapatkan bantuan Jabatan Kimia bagi membantu siasatan bagi mengenal pasti kesan dan impak pelanggaran kedua-dua bot berkenaan.

“Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan secara rasmi sama ada kedua-dua bot ini mempunyai permit atau lesen untuk mengendalikan penumpang.

“Kejadian masih terlalu awal dan beri peluang kepada pihak kami untuk melengkapkan siasatan.

“Kita juga akan melihat sama ada prosedur operasi standard (SOP) ataupun peraturan yang ditetapkan mengikut syarat lesen dipatuhi atau tidak,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here