Home Buletin Semasa 92 PENUMPANG CEMAS, FERI TELUK BAHANG BERLANGGAR KAPAL DI PERAIRAN PENANG

92 PENUMPANG CEMAS, FERI TELUK BAHANG BERLANGGAR KAPAL DI PERAIRAN PENANG

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Seramai 92 penumpang berdepan detik cemas selepas feri yang dinaiki mereka dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal ketika dalam perjalanan dari bahagian pulau menuju ke Terminal Feri Penang Sentral, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, beberapa penumpang dilaporkan cedera, manakala beberapa motosikal yang berada di atas feri turut terbalik akibat perlanggaran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam.

“Pasukan bomba tiba di lokasi sembilan minit kemudian dan mendapati kejadian membabitkan Feri Teluk Bahang dan sebuah kapal.

“Terdapat 92 orang mangsa yang terbabit, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengesahkan insiden perlanggaran membabitkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya berlaku dalam had Pelabuhan Pulau Pinang.

Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu berlaku ketika MV Mekar Jaya bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di George Town.

Katanya, perlanggaran berlaku antara kapal berkenaan dengan feri yang sedang dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).

“Setakat maklumat awal yang diterima, seramai 21 orang dilaporkan cedera.

“Semua penumpang yang tercedera sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, perkhidmatan feri bagaimanapun berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden berkenaan.

Menurutnya, SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan terhadap penumpang terbabit dapat dilaksanakan.

“Pada masa sama, aspek keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa akan dipastikan terjamin,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial, memaparkan keadaan penumpang yang cedera serta beberapa motosikal terbalik dipercayai akibat perlanggaran itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here