Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kecenderungan berkahwin lewat dan memilih untuk terus membujang, khususnya dalam kalangan lelaki, menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di Malaysia.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah, berkata perkembangan itu perlu diberi perhatian serius memandangkan Malaysia dijangka menua pada 2036, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kalau dikira sekarang, lebih kurang 10 tahun sahaja lagi. Jadi kita perlu bersiap dari segi infrastruktur, kemudahan untuk warga emas dan juga golongan muda.
“Yang paling penting, kita perlu wujudkan satu ekosistem yang membantu mereka untuk berkahwin dan membina keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Institut Pengurusan Peladang Panji, di sini hari ini.
Menurutnya, faktor membujang dan lewat berkahwin sememangnya antara penyumbang kepada penurunan penduduk, selain perubahan aspirasi golongan muda terhadap kehidupan berkeluarga.
Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan LPPKN, lelaki yang tidak berkahwin turut menjadi sebahagian daripada kelompok yang menyumbang kepada trend berkenaan.
Abdul Shukur berkata, masyarakat tidak seharusnya hanya melihat isu kependudukan berdasarkan angka dan statistik semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada usaha memperkukuh institusi keluarga.
“Kita kena lihat juga dari segi industri keluarga supaya nilai membentuk sebuah keluarga itu sesuatu yang perlu diberi secara positif kepada orang muda.
“Orang muda sekarang takut untuk berkahwin. Apabila mereka melihat kadar perceraian meningkat dan banyak laporan berkaitan penderaan rumah tangga serta perceraian, ia sedikit sebanyak menyebabkan mereka takut untuk berkahwin,” katanya.
Beliau berkata, selain kebimbangan terhadap perceraian dan tanggungjawab berkeluarga, faktor ekonomi serta kos sara hidup yang tinggi turut menyebabkan golongan muda menangguhkan perkahwinan.
Katanya, kos berkahwin yang semakin tinggi termasuk tuntutan hantaran yang boleh mencecah antara RM15,000 hingga RM20,000 turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.
“Paling penting ialah isu kos sara hidup. Sekarang nak berkahwin pun hantaran mahal, sampai RM15,000, RM20,000.
“Sebab itu kita banyak melaksanakan program untuk meningkatkan kesedaran dan mewujudkan satu ekosistem yang menyokong perkahwinan supaya mereka tidak berasa takut untuk berkahwin,” katanya.
IMedikel TV






