Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Ceteknya pengetahuan agama menyebabkan saya mudah terjerumus ke lembah maksiat melakukan hubungan terlarang dengan kekasih bawah umur yang senasib dengan saya,” kata Sarul, 18, (bukan nama sebenar).
Sarul antara 17 pelatih Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) berumur antara 14 hingga 21 tahun yang mengikuti Program Bangkit Optimis Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang selama dua hari di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, semalam.
Mereka terdiri daripada kumpulan remaja daripada beberapa daerah di negeri ini yang melakukan pelbagai kesalahan seperti seksual, buli, mencuri motosikal, berlumba motosikal dan memandu tanpa lesen.
Mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat mengikut jam dalam tempoh enam bulan.
Turut memantau Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM Pahang, Che Muhamad Fairuz Che Muhamad Adnan.
Sarul berkata, tidak pernah memikirkan soal dosa di dorong kehangatan cinta mendalam menyebabkan dia dan Ayu, 14, (bukan nama sebenar) sanggup melakukan apa sahaja termasuk perbuatan terlarang setiap kali peluang terhidang.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, kali pertama aktiviti terlarang itu berlaku tahun lalu, dalam kegelapan malam dipesisir Pantai Hiburan, Rompin. Bermula dari situ perbuatan sama berlaku ditempat berlainan termasuk di rumah keluarga kekasihnya.
“Pengalaman pahit itu bermula selepas hampir setahun mengenalinya, hubungan kami akhirnya membawa kepada perkara yang disesalinya kini. Namun ‘nasi sudah menjadi bubur’ kami kini sama-sama insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya.
“Saya tidak berniat untuk melakukan kesalahan terhadap Ayu yang dianggap gadis istimewa dalam hidup saya, namun saya tidak mampu mengawal diri sehingga akhirnya kami terjerumus melakukan kesilapan besar dalam hidup ini.
“Ilmu agama yang terlalu cetek dan pergaulan bebas akhirnya saya tidak mampu menangkis godaan dan kami terjerumus ke lembah maksiat tanpa rasa bersalah,” katanya yang berjanji untuk tidak lagi menghampiri perbuatan maksiat.
Sarul berkata, dalam tempoh lebih setahun menjalinkan hubungan cinta, dia dan Ayu kerap mengadakan hubungan terlarang itu antara dua hingga tiga kali sebulan. Mereka berdua seolah ketagih dengan perbuatan sumbang itu.
“Saya kini insaf dan bertaubat, tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Begitu berat kesilapan yang ditanggung, saya takut hukuman yang disediakan Allah pada mereka yang melakukan kesalahan.
“Saya ingin menebus kesilapan dengan mengambil Ayu sebagai isteri yang sah, namun usaha itu tidak berhasil. Saya reda dengan apa yang terjadi dan berjanji tidak akan mengulanginya selepas ini. Saya bertaubat dan berharap Yang Maha Esa dapat menerimanya,” katanya yang dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
IMedikel TV






