Home Hiburan REZEKI FIZA SEMAKIN MENCURAH DALAM BERTEATER

REZEKI FIZA SEMAKIN MENCURAH DALAM BERTEATER

“Sangat bersyukur apabila dikurniakan rezeki yang tidak putus-putus. Daripada satu pentas ke satu pentas, ini memang satu pengalaman yang cukup berharga buat saya.” 

Demikian kata penyanyi dan pelakon, Fiza Thomas apabila meluahkan rasa teruja dan gembira dapat terus aktif menyerlahkan bakatnya dalam bidang seni persembahan, khususnya teater muzikal.

Memetik laporan Harian Metro, membuktikan keupayaan dirinya bukan sekadar omongan kosong, pemilik nama sebenar Nur Hafizah Longkip @ Thomas ini tidak menafikan bahawa pembabitannya dalam pementasan teater berprestij menjadi satu penanda aras penting dalam kerjaya seninya.

Kali ini, dia diberi kepercayaan memegang watak Mak Inang Ying, satu karakter yang cukup menceriakan dan penuh warna-warni menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 September ini.

Menerusi watak berkenaan, Fiza digandingkan bersama pelakon dan pelawak, Sherry Alhadad yang memegang watak sebagai Mak Inang Fang.

“Watak Mak Inang Ying ini memang jenis yang gila-gila dan meriah. Watak ini memerlukan tenaga yang tinggi kerana karakternya sentiasa lantang dan menghidupkan suasana.

“Bila digandingkan dengan Sherry, kami ibarat dua ‘badut’ yang sentiasa beraksi bersama. Kami banyak menyusun strategi sendiri untuk menghidupkan babak komedi dalam teater ini,” katanya. 

Bercakap mengenai pengalamannya bekerja di bawah arahan maestro muzik, Datuk M Nasir, Fiza mendedahkan pengarah berkaliber itu memberikan kebebasan kreatif kepada pelakon untuk mewarnai watak masing-masing.

“Datuk M Nasir seorang yang sangat tahu apa yang beliau mahukan. Beliau tidak terus menegur, sebaliknya mahu melihat dahulu sejauh mana permainan dan kebolehan kita di atas pentas.

“Beliau cuma berpesan supaya kami memantapkan aspek nyanyian serta mendalami maksud lirik, pantun, dan bahasa istana yang agak mencabar untuk dihafal berbanding dialog biasa,” katanya.

Cabaran dalam naskhah kali ini turut diperhebatkan lagi apabila Fiza dan Sherry perlu menyelitkan dialog dalam bahasa Mandarin bagi menambah keunikan pementasan.

Mengulas mengenai cabaran mengimbangi pelbagai watak, Fiza mengakui aspek ketahanan fizikal dan mental menjadi keutamaan paling mencabar apabila menjayakan teater muzikal.

“Muzikal sebenarnya sangat sukar kerana kita perlu menyanyi, berlakon, dan menari secara serentak. Stamina memang perlu dijaga rapi,” katanya.

Selain sibuk di pentas teater, Fiza juga tidak melupakan minat mendalamnya terhadap bidang nyanyian apabila baharu sahaja melancarkan album pengenalan (EP) terbaharunya bertajuk Rayakan Dia.

Membawakan genre Pop Alternatif, EP yang mengandungi empat buah lagu itu menceritakan kisah penghargaan Fiza terhadap insan-insan tersayang dalam hidupnya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here