Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan laluan pangkalan haram di Sungai Golok untuk membawa masuk pil Yaba dari negara jiran terbongkar selepas polis merampas 6,000 biji pil berkenaan bernilai kira-kira RM60,000.
Dalam operasi kira-kira jam 7.30 malam, Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 45 tahun di tepi jalan Kampung Rahmat, Jalan Lubok Stol-Rantau Panjang, di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu bungkusan kertas kekuningan mengandungi 6,000 biji pil disyaki dadah jenis Yaba, dengan anggaran berat 655 gram.
Menurutnya, rampasan itu dianggarkan bernilai RM60,000 dan dipercayai mampu disalahgunakan oleh sehingga 6,000 individu.
“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandi menggunakan laluan pangkalan haram di Sungai Golok bagi membawa masuk dadah dari negara jiran sebelum diedarkan di sekitar Kelantan.
“Ujian saringan awal air kencing suspek pula didapati positif dadah jenis amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Katanya suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan,”katanya.
Mohd Yusoff berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN Kelantan selain kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah.
“PDRM Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan JSJN Kelantan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya kepada Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
IMedikel TV






